Bawa anak lapan tahun ‘port’ dadah

 Bawa anak lapan tahun ‘port’ dadah

JERANTUT, 23 Januari 2022 – Seorang bapa berusia 30-an sanggup membawa anaknya berusia lapan tahun untuk melepaskan gian menagih dadah di dalam sebuah ladang sawit dekat sini, hari ini.

Bapa tersebut antara 32 orang suspek kesemuanya lelaki berusia antara 19 hingga 50 tahun yang diberkas di beberapa port berasingan di Felda, kampung dan pinggir bandar daerah ini sempena Ops Tapis Khas yang bermula pada 21 Januari hingga berakhir hari ini.

Sebahagian suspek pengedar dan penagih dadah dibawa naik ke atas kenderaan Polis di Raja Malaysia (PDRM) dalam satu serbuan sebuah port ladang sawit sebuah Felda di Jerantut, Jerantut, Pahang hari ini. – FOTO IHSAN IPD JERANTUT

Ketua Polis Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, bapa berkenaan yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah akan disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, seramai tujuh orang, Seksyen 12(2) ADB 1952 (8 orang), Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang terbabit dengan air ketum (6 orang).

“Turut ditahan seramai 23 orang akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan seorang lagi di bawah Seksyen 3(1), Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 10 gram, heroin (5.79 gram) dan air ketum (1.5 liter).

“Sungguh tidak masuk akal dan sedih dalam serbuan ini, seorang bapa dalam lingkungan 30-an sanggup membawa anaknya berusia 8 tahun yang masih tidak mengerti apa-apa di port ladang sawit sebuah Felda kerana sangat gian dengan dadah.

“Cukup memalukan kepada bapa berkenaan dan dalam masyarakat kita, nampaknya pengedar serta penagih dadah masih tidak serik dan berani walaupun kerajaan sudah mengenakan undang-undang yang berat seperti hukuman mati dan penjara dalam tempoh yang lama,” katanya.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut sangat berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa penahanan seramai 32 orang suspek pengedar dan penagih sempena Ops Tapis Khas yang dijalankan selama tiga.

“Kita berharap kerjasama ini berterusan dan orang ramai dapat membantu polis membanteras dadah dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat jenayah dialu-alukan menyalurkan terus ke IPD Jerantut menerusi talian 09 2662222 sambungan 262,”katanya.-ends.

Amir Hamzah Nordin

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  4  =  1