‘Bau busuk meloyakan, kami pening terhidu bau sisa toksik’

 ‘Bau busuk meloyakan, kami pening terhidu bau sisa toksik’

Yahya menunjukkan gambar tumpahan sisa buangan di tali air berhampiran kampung itu.

JOHOR BAHRU, 15 Sept — Rata-rata penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini terasa loya dan pening-pening apabila terhidu bau sisa toksik yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu sejak malam semalam.

Yahya Mohd. Nasir masih boleh terbau sisa buangan industri itu biarpun rumahnya terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Saya dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pekerja saya kira-kira pukul 10.30 malam semalam. Apabila buka sahaja pintu rumah, bau itu sangat tajam dan berasa loya.

“Kami diarahkan berpindah ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru namun disebabkan pandemik, saya pilih untuk berpindah ke rumah kakak di Larkin,” katanya.

Seorang lagi penduduk, A. Khalib Muslim, 70, berkata, kesan daripada pencemaran air itu menyebabkan hidupan air seperti ikan dan labi-labi kelihatan mati di tali air lokasi pencemaran bermula.

Menurutnya, bau busuk itu menyebabkan berlaku simptom sesak nafas sejak pukul 9 malam semalam sehingga awal pagi tadi.

“Beberapa penduduk kampung termasuk saya dapat menghidu bau hangit seperti tayar dibakar yang amat kuat. Kami mula mencari sumber bau busuk itu sebelum ternampak kepulan asap keluar dari tali air berdekatan.

“Apabila menyuluh ke arah tali air berkenaan, kami nampak ikan serta labi-labi terapung yang sudah mati malah kami mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  61  =  63