Barra Trong pantang gewang kuning

 Barra Trong pantang gewang kuning
Oleh Mohd Kamal Ahmad
TAIPING, 7 Mac: Pemburu siakap mega atau Barramundi di Kuala Trong kira-kira 20 kilometer dari sini, tidak perlu membawa umpan hidup tetapi memadai dengan berbekalkan beberapa gewang sahaja.
Siakap di sini pantang dengan lintasan gewang selaman atas warna kuning, biru belang atau redhead. Gewang selaman dalam bukan tidak efisien tetapi kerap tersangkut di reba atau ranting bakau.
Pemburu setia barra Trong, Reduan Kamaruddin, 40, dari Kampung Kuala Trong, adalah pengusaha bot sewa yang sudah kenal Kuala Trong dan lubuk-lubuk sembunyian ikan muara dan air payau – jenahak, gerut, tebal pipi, pari, gelama, kerapu, anak tanda, semilang dan duri.
“Pengalaman terbaik saya ialah menumpaskan barra seberat 13.2 kilogram menggunakan gewang,” kata skipper atau tekong yang menyambung kerjaya ayahnya pada 2016 itu. Ketika ini beliau menguruskan tujuh bot sewa berukuran 25 x 5 kaki (sebuah), 19 x 4.5 kaki (sebuah) dan 17 x 4 kaki (lima) masing-masing dilengkapi enjin.
Untuk tidak berputih mata, persiapan terbaik perlu dilakukan untuk menghadapi pertarungan dengan barra yang bijak melepaskan diri atau memutuskan tali. Reduan pada awalnya menggunakan tali 40lb dan perambut 60lb. Tetapi masa yang berlalu memberikan beliau pengalaman dan kemahiran untuk menjinakkan mangsa dengan tali 20lb dan perambut 30lb.
Musim barra di Kuala Trong biasanya pada awal tahun dan hujung tahun selain bergantung kepada cuaca. Beliau fokus ke lubuk yang kerap memberikan hasil tangkapan dan memilih kaedah casting gewang JL Extreme kuning, biru belang dan redhead purata 13 gram untuk selaman kira-kira semeter dalam.
“Kalau hujan, air sungai keruh seperti teh tarik kerana muara Kuala Trong banyak bersambung dengan sungai air tawar. Jadi, ini bukan masa terbaik untuk memancing,” katanya.
Pada peringkat awal dulu, Reduan menggunakan kaedah trolling atau menunda berumpankan ikan jenjulung hidup yang beliau akui antara umpan terbaik untuk memburu barra ataupun siakap merah (mangrove jack).
Pelanggan Reduan datang dari seluruh negara selain pemancing tegar dari Singapura dan Thailand. Sewa yang dikenakan bermula dari RM150 hingga RM500 sehari untuk tiga pemancing dan bergantung kepada saiz bot sama ada pandu sendiri atau menggunakan servis tekong.
Bot beliau berpangkalan di jeti Kuala Trong yang turut dikongsi dengan beberapa pengusaha bot sewa lain.
Mengenai profil barra Trong, Reduan mengesahkan barra liar rasanya lebih sedap berbanding spesies sama di lokasi lain.
“Di Kuala Trong tiada pengusaha sangkar ikan siakap. Faktor kenapa ikan di sini lebih sedap mungkin disebabkan muaranya yang cantik, bersih dan tidak tercemar dengan sampah-sarap,” katanya.
“Selain siakap,di Kuala trong juga terkenal dengan spesis ikan seperti semilang, jenahak, senangin, kurau, pari dan macam-macam lagi … saiz ikan di sini tidaklah sebesar saiz siakap tetapi kalau ikan pari boleh mencecah 30kg hingga 40kg,” katanya.
Kerana kualitinya, harga barra segar Trong mencecah RM25 sekilogram dan lazimnya ikan tangkapan Reduan dibeli oleh penduduk setempat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  1  =