• Monday, 21 June 2021, 3:54 am

Barisan hadapan pelancongan dapat vaksin

 Barisan hadapan pelancongan dapat vaksin

Seorang petugas menunjukkan Vaksin CoronaVac di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Shah Alam. WMY/SUPIAN AHMAD

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Petugas barisan hadapan pelancongan akan diberikan vaksin COVID-19 menerusi Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selepas selesai fasa pemberian vaksin kepada barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi vaksin kepada anggota sektor berkenaan yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut MOTAC, mereka yang terlibat untuk fasa pertama vaksinasi itu terdiri daripada petugas hotel sebagai Pusat Kuarantin yang berdaftar dengan kementerian serta petugas hotel bukan Pusat Kuarantin tetapi beroperasi sepanjang PKP 3.0 yang berdaftar dengan kementerian itu.

Menurut MOTAC, mereka yang terlibat untuk fasa pertama vaksinasi itu terdiri daripada, Petugas hotel sebagai Pusat Kuarantin yang berdaftar dengan kementerian, Petugas hotel bukan Pusat Kuarantin tetapi beroperasi sepanjang PKP 3.0 yang berdaftar dengan kementerian, Petugas industri penerbangan yang masih bertugas bagi Jun 2021 (Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo) dan Petugas acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga termasuk dalam fasa itu.

Menurut kenyataan MOTAC, fasa seterusnya akan melibatkan mereka yang berada dalam subsektor lain di bawahnya berdasarkan kepada kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi selepas PKP 3.0.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri berkata komitmen berkenaan mampu menjadi pemangkin industri pelancongan negara untuk kembali bangkit, sekali gus membantu negara dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi tempatan.

Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) akan berganding bahu dengan beberapa industri dalam menawarkan pusat-pusat persidangan dan pameran di seluruh negara sebagai PPV untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam negara.

Antaranya, ialah Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Pusat Konvensyen Setia Spice, Pusat Konvensyen Seberang Perai Arena, Pusat Konvensyen Borneo Kuching; Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah dan Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *