Bapa tunggal berhati mulia sumbangkan semula bantuan diterima

 Bapa tunggal berhati mulia sumbangkan semula bantuan diterima

Bantuan keperluan asas yang diterima seorang bapa tunggal diagihkan semula kepada golongan memerlukan oleh Sekretariat MAKPEN.

KUANTAN, 16 Jul — Seorang bapa tunggal yang menerima bantuan keperluan asas lebih 12 set dalam satu masa menyumbangkan semula bantuan yang berlebihan kepada Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN) minggu lalu.

Setiausaha Kehormat MAKPEN, Salamon Ali Rizal Abdul Rahman berkata, bantuan prihatin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 itu diberikan kepada lelaki berkenaan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu individu terbabit.

Katanya, selain beras pelbagai barangan keperluan asas lain seperti bihun, gula, tepung, minyak masak, biskut dan sardin diterima lelaki terbabit yang menetap di taman perumahan di daerah ini.

Menurutnya, disebabkan kehilangan sumber pendapatan selepas tidak dapat bekerja sebagai penjual air membuatkan banyak pihak tampil menghulurkan bantuan untuknya sekeluarga.

“Lelaki terbabit mempunyai tiga anak, seorang anaknya mengidap penyakit saraf kronik dan seorang lagi ‘sindrom down’.Mereka menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

“Disebabkan terlalu banyak menerima bantuan lelaki terbabit mengambil keputusan menyumbangkan semula kepada MAKPEN untuk diberikan kepada golongan memerlukan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan lelaki berusia 54 tahun seharusnya menjadi contoh pada pihak lain, bantuan yang diterima hingga berlebihan disumbangkan semula kepada individu lain.

Salamon Ali Rizal berkata, antara faktor terlalu banyak bantuan diterima lelaki terbabit ialah apabila penyumbang menghantar bantuan tanpa pengetahuan lelaki berkenaan, mereka hanya meletakkan barangan dalam pagar rumahnya tanpa memaklumkan.

Katanya, sejak sekretariat MAKPEN beroperasi bulan lalu bertujuan menyelaras agihan bantuan kepada golongan memerlukan, kes bapa tunggal berkenaan pertama ditemui yang dianggap begitu menarik sekali.

“Kita banyak menerima kes individu memberi maklumat peribadi salah serta mengelirukan bertujuan
ingin mendapatkan bantuan keperluan asas lebih daripada sekali.

“Sekretariat MAKPEN menyediakan bantuan dengan syarat individu terbabit benar-benar memerlukan, mereka boleh menghubungi kita ditalian 013 9314004,” katanya.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *