Banyak kerusi akan saksikan pertandingan 4, 5 penjuru?

 Banyak kerusi akan saksikan pertandingan 4, 5 penjuru?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat dijangka berlangsung ‘meriah’ apabila banyak parti akan meletakkan calon masing-masing.

Dijangka kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menyaksikan sekurang-kurangnya lima penjuru, iaitu antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Andai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut ingin mencuba nasib bagi menguji sambutan orang ramai, tidak mustahil pertandingan dalam PRN Johor menyaksikan pertandingan enam atau tujuh penjuru.

Seperti PRN Sabah, Melaka dan Sarawak yang diadakan sebelum ini, PRN Johor dijangka bakal dimeriahkan dengan ramai calon termasuk juga yang bertanding atas tiket Bebas.

Walau bagaimanapun, tumpuan rakyat, khususnya pengundi sudah pastinya terhadap calon-calon yang ditampilkan ‘gabungan parti’ besar seperti BN, PH dan PN.

Menjengah keputusan tiga PRN terdahulu, khususnya yang terbaharu di Melaka, BN yang diterajui UMNO bakal bersaing hebat dengan PH dan PN.

Memandangkan BERSATU tidak lagi bersama-sama PKR, DAP dan Amanah dalam PH, kerjasama dalam PN dengan PAS bakal teruji lagi pada PRN Johor.

Namun, sekiranya PH dapat merealisasikan konsep ‘Khemah Besar’, iaitu berjaya memujuk Pejuang dan Warisan menyertai pakatan berkenaan setelah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan turut menyertainya, kekuatan berkenaan pasti mampu memberi saingan sengit kepada BN.

Berdasarkan kenyataan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad baru-baru ini, BN yakin memenangi lebih banyak kerusi dan berdasarkan momentum semasa sokongan rakyat, tidak mustahil mampu menang dengan majoriti dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Namun, kenyataan Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh bahawa parti tersebut akan bertanding di bawah tiketnya sendiri di 42 kerusi pasti akan memberi ‘kelebihan’ kepada BN.

Warisan juga sedang menimbang untuk bertanding pada PRN Johor, iaitu percubaan pertama parti itu untuk ‘membuka pintu dan bersaing’ dalam arena politik Semenanjung.

Walaupun BN seakan-akan yakin dapat membentuk semula kerajaan negeri, namun dalam politik, apa sahaja boleh berlaku.

Malah, kehadiran lebih 150,000 pengundi muda yang pertama kali dibenarkan mengundi masih menjadi tekaan dan trend sokongan mereka pasti memberi impak besar terhadap keputusan PRN Johor nanti.

Apa pun, gendang PRN sudah dipalu dan kini semua parti yang ingin bertanding sudah mencongak di mana kerusi sasaran masing-masing.

Semoga PRN Johor dapat berlangsung dengan adil dan aman. – END

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  9