Bantu penternak ayam tempatan bukan import ayam – Jeffrey

 Bantu penternak ayam tempatan bukan import ayam – Jeffrey

Kredit Foto: Farhan Najib

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Kerajaan digesa untuk membantu penternak ayam tempatan dan bukannya mengimport lebih banyak ayam beku dari negara luar.

Penasihat Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee berkata, isu bekalan ayam yang terhad tidaklah seburuk yang dilaporkan dan kebanyakannya disebabkan oleh kurangnya pemantauan di peringkat pengeluaran.

“Walaupun sesetengah tempat mungkin mengalami kekurangan bekalan, ini hanya di dua atau tiga tempat. Tetapi jika anda melihat mana-mana pasar borong atau pasar raya besar, jelas bahawa bekalan ayam cukup untuk pengguna.

Beliau berkata dari perspektif pengeluar ayam, kerajaan perlu melihat keadaan secara mendalam kerana mengimport ayam sejuk beku boleh memberi kesan kepada pengeluar tempatan.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda, industri ayam tempatan telah terjejas dan berada dalam keadaan yang sukar kerana kami terpaksa memikul pelbagai kenaikan kos.

“Banyak pengeluar telah menghadapi kerugian, dengan keuntungan hampir tidak melebihi kos.”

Katanya lagi, kekurangan tenaga kerja juga membawa kepada persepsi bahawa bekalan ayam adalah rendah.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, langkah kerajaan membenarkan pengimportan ayam sejuk beku dijangka dapat membantu mengurangkan harga barangan itu di pasaran.

Malah beliau turut berkata tindakan itu dijangka akan menyebabkan lebihan bekalan di pasaran tempatan, tetapi pada masa yang sama faktor lain juga mempengaruhi harga domestik termasuk harga ayam sejuk beku yang ditetapkan oleh negara pengeluar.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *