• Sunday, 20 June 2021, 3:43 pm

Bank perlu membantu golongan M40 yang teruk terkesan – Mustapa Mohamed

 Bank perlu membantu golongan M40 yang teruk terkesan – Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 Jun —  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyeru Persatuan Bank Malaysia (ABM) untuk memberikan moratorium automatik bagi membantu golongan M40 yang paling teruk terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut maklum balas yang diterimanya, ramai golongan M40 termasuk usahawan dan para profesional semakin tertekan dan terdesak untuk mendapatkan bantuan.

“Ramai yang mengharapkan moratorium menyeluruh seperti yang dibuat pada tahun lepas. Bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mikro, mereka tiada masalah untuk dapatkan moratorium.

“Pihak bank perlu mencari kaedah yang lebih baik dalam memberikan pencerahan mengenai moratorium,” katanya dalam temu bual rancangan Bicara Politikonomi – ‘Lockdown dan Ekonomi Negara’ di saluran televisyen TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), semalam.

Beliau berkata pihak bank juga boleh menyediakan beberapa ‘helpdesk’ bagi kes-kes tertentu supaya mereka yang terkesan dan tidak ada pertimbangan lain dapat membuat aduan.

Menurutnya, moratorium automatik adalah solusi yang terbaik kerana tidak melibatkan sebarang karenah birokrasi.

“Saya berharap bank-bank akan cuba membantu golongan yang terkesan dan yang patut ditolong ini. Pandangan ini adalah di kala bank-bank di negara ini secara amnya melaporkan keuntungan yang memberangsangkan pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya, meskipun pemulihan ekonomi dijangka bertambah baik sejak akhir tahun lepas, namun dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, keadaan kembali menjadi ‘parah’ kerana kebanyakan peniaga tiada lagi simpanan tunai atau mendapat bantuan lanjut.

Beliau berkata walaupun kerajaan tidak dapat memenuhi kebanyakan permohonan daripada usahawan, namun diharapkan pihak bank dapat terus berbincang dan mencari kemajuan dalam perkara tersebut.

“Tertakluk kepada pihak bank sama ada menerima cadangan ini atau tidak. Mungkin Bank Negara Malaysia (BNM) boleh menjadi orang tengah untuk mencari jalan bagaimana untuk memberi pencerahan agar isu ini boleh ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam keadaan yang tidak menentu akibat COVID-19, sukar untuk menjangkakan situasi mengenai pemulihan ekonomi negara, melainkan proses vaksinasi COVID-19 dapat dipercepatkan.

“Kalau ada permohonan daripada syarikat-syarikat swasta untuk beli sendiri vaksinasi, sudah pasti kerajaan boleh mencari jalan bagaimana dapat mempercepat vaksinasi sekali gus boleh mengembalikan keyakinan pelabur dan ekonomi dapat cepat pulih seperti yang kita lihat di Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Australia,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *