Bank Negara kekalkan OPR pada 1.75 peratus

 Bank Negara kekalkan OPR pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi mesyuarat kedua Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata MPC juga menyifatkan keputusan serta pendirian membabitkan dasar monetari tersebut sebagai wajar dan akomodatif.

Ia menegaskan, berikutan keadaan pandemik yang terus tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negara.

“Bank Negara Malaysia akan terus komited untuk menggunakan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan,” kata bank pusat itu.

Menurut BNM, di peringkat domestik, penunjuk terkini menunjukkan permintaan luaran bertambah baik manakala perbelanjaan pengguna berterusan.

Malah, katanya, walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan penularan COVID-19 akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, kesannya dijangka tidak seteruk yang pernah dialami pada suku kedua 2020.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan diunjurkan meningkat mulai suku kedua dan seterusnya, didorong oleh pemulihan permintaan global, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar serta langkah-langkah pembendungan yang lebih bersasar,” katanya.

BNM berkata, pertumbuhan itu akan turut disokong oleh aktiviti pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sektor perkilangan yang sedia ada dan baharu, khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta loji pengeluaran minyak dan gas.

“Pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 di peringkat dalam negara akan terus meningkatkan sentimen dan kegiatan ekonomi.

“Bagaimanapun, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi rendah. Keadaan ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian berterusan mengenai perkembangan berkaitan pandemik serta cabaran yang akan dihadapi dan boleh menjejaskan (usaha) vaksinasi pada peringkat global dan dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, purata inflasi keseluruhan pada 2021 diunjurkan lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga minyak.

Menurut BNM, dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun ini berikutan asas lebih rendah daripada harga runcit bahan api dalam negara pada suku sama 2020 yang menyederhana selepas itu.

“Inflasi asas juga dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi, namun prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi,” kata BNM.

Selain itu, ia juga menyifatkan pemulihan ekonomi global semakin rancak meskipun tidak sekata, disokong oleh peningkatan stabil dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan.

Pada masa sama, program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di kebanyakan negara-negara berserta sokongan dasar akan terus membantu menambah baik keadaan permintaan swasta dan pasaran tenaga kerja, katanya.

“Meskipun pasaran kewangan telah mengalami turun naik, keadaan kewangan terus menyokong kegiatan ekonomi.

“Risiko terhadap prospek pertumbuhan juga telah berkurangan sedikit tetapi terus cenderung ke arah pertumbuhan lebih perlahan yang disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian mengenai pandemik COVID-19 serta keberkesanan program vaksinasi,” kata BNM.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  6  =