Bangkok, Chiang Mai dibuka kepada pelancong

 Bangkok, Chiang Mai dibuka kepada pelancong

Thailand merancang membuka kembali lebih banyak destinasi pelancongan bagi menghidupkan kembali industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Gambar hiasan

BANGKOK, 7 Sept — Susulan kejayaan ‘Phuket Sandbox’ dan ‘Samui Plus’, Thailand merancang membuka kembali lebih banyak destinasi pelancongan popularnya mulai bulan depan bagi menghidupkan kembali industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakun berkata, Bangkok dan empat wilayah lain iaitu Chonburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan dan Chiang Mai akan dibuka semula kepada pelancong yang telah divaksin mulai 1 Oktober.

“Ia akan diikuti 21 wilayah lain pada pertengahan Oktober, yang perinciannya akan diumumkan bila tiba masanya,” katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini pada Isnin.

Sejak pembukaan semula, Phuket telah menyambut 26,400 pengunjung sepanjang dua bulan pertama, bermula 1 Julai hingga 31 Ogos, menjana pendapatan bernilai 1.63 bilion Baht.

Program ‘Samui Plus’ pula, pelancong berpeluang mengunjungi Koh Samui, Koh Pha-ngan dan Koh Tao. Sejak dimulakan pada 15 Julai dan sehingga 31 Ogos lalu Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) memaklumkan program ini telah menerima 918 pengunjung, dengan 6,329 tempahan bilik, menghasilkan pendapatan 37.6 juta Baht.

Menurut kenyataan TAT kebanyakan pelancong berasal dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Setakat ini, Thailand telah memberikan 35.91 juta dos vaksin termasuk 25.23 juta dos pertama.

Sementara itu, Pejabat Sheikul Islam (SIO) di Thailand telah membenarkan kembali solat berjemaah di masjid-masjid komuniti dengan sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas telah menerima vaksin COVID-19.

Natapanu berkata, ahli jawatankuasa Islam di masjid dan jemaah mestilah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Waktu solat dihadkan kepada 30 minit dan solat Jumaat tidak lebih 45 minit,” katanya.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 13,988 kes baharu COVID-19 dan 187 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 1,294,522 dan korban seramai 13,042 orang.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

86  −  83  =