Bangga tiap tahun dapat kibar beratus Jalur Gemilang di rumah

 Bangga tiap tahun dapat kibar beratus Jalur Gemilang di rumah

Md Amin dan isterinya, Rozana memasang lebih 300 Jalur Gemilang pelbagai saiz di luar rumah di Taman Indera Sempurna.

KUANTAN, 24 Ogos — “Rasa bangga begitu menebal apabila setiap kali bulan kemerdekaan saya dapat kibarkan beratus Jalur Gemilang pelbagai saiz di luar rumah.

“Malah tahun ini saya turut menghias rumah bunga dengan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat cintakan negara,” kata Md Amin Sarju, 57, di Taman Indera Sempurna, di sini.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan hujung bulan ini, Md Amin menyediakan lebih 300 Jalur Gemilang pelbagai saiz yang dipasang di hadapan rumah termasuk rumah bunga miliknya.

Md Amin dan isteri, Rozana Sarman, 55, mula menghias rumah dengan Jalur Gemilang sejak beberapa hari lalu selepas mereka selesai menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu kerana positif COVID-19.

Katanya, tahun lalu tema hiasan Jalur Gemilang COVID-19 berbentuk virus penyakit yang menyerang dunia hari ini namun kali ini dia masih tercari-cari tema yang sesuai untuk diterjemahkan menggunakan replika.

Md Amin dan isterinya, Rozana memasang lebih 300 Jalur Gemilang pada rumah bunga dan di luar rumah mereka.

“Kali ini saya menyediakan perbelanjaan lebih RM100 untuk membeli Jalur Gemilang yang baharu, selebihnya saya guna Jalur Gemilang yang digunakan tahun lalu.

“Saya tidak pernah merasa membazir untuk membeli Jalur Gemilang sebagai hiasan setiap tahun, malah terbit perasaan bangga apabila melihat bendera berkenaan berkibar apabila ditiup angin,” katanya.

Menurutnya, bagi memeriahkan lagi bulan kemerdekaan kali ini diharapkan kempen memasang Jalur Gemilang mendapat sokongan penduduk setempat terutama mereka yang menetap di Lorong 18 Taman Indera Sempurna yang sebelum ini tidak mengecewakan.

Md Amin berkata, walaupun pertandingan menghias rumah dengan Jalur Gemilang tidak diadakan tahun ini namun dia dan isteri tetap meneruskan rutin tahunan menjelang Hari Kemerdekaan negara ke-64.

Seorang lagi penduduk, Noraini Abdul Latiff, 47, seronok dapat bersama jiran bergotong-royong menghias rumah dengan Jalur Gemilang.

“Saya yakin jumlah Jalur Gemilang di kawasan ini akan bertambah dua hingga tiga kali ganda apabila hampir dengan tarikh keramat negara 31 Ogos,” katanya

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  23  =  25