Bangga dapat miliki 40 basikal klasik luar negara

 Bangga dapat miliki 40 basikal klasik luar negara

KUANTAN, 17 Jun – Dapat mengumpul 40 basikal klasik pelbagai jenama luar negara berusia ratusan tahun ternyata menjadi kebanggaan serta kepuasaan pada individu yang meminati hobi berkenaan.

Harga mahal mencecah RM25,000 sebuah bukan halangan untuk memiliki basikal berkarat hanya kerana imej sebagai kenderaan klasik yang hampir pupus dan dilupakan.
Bagi Bakhtiar Afendy Mat Noor, 49, harga bukan penghalang padanya untuk memiliki basikal klasik luar negara yang begitu terkenal suatu ketika dahulu terutama di beberapa negara Eropah seperti German, England, Perancis dan Switzerland.

Antara koleksi basikal klasik milik Bakhtiar Afendy Mat Noor. Foto WMY/Mohd Fikri Mie.

Katanya, dalam tempuh lima tahun terbabit dengan aktiviti mengumpul kenderaan tertua dunia itu sebanyak 40 basikal klasik kini berjaya dikumpul yang bernilai lebih RM100,000, setiap satu dibeli dengan harga antara RM1,000 hingga RM25,000.

Menurutnya, untuk mendapatkan basikal klasik diminati dia sentiasa berhubung dengan beberapa rakan di luar negara, mereka akan mencari kenderaan terbabit dan menghantarnya.

“Saya lebih suka mengekalkan ketulinan basikal klasik, warna cat yang pudar dan terdapat sendikit kesan karat menjadikan basikal berkenaan lebih menarik serta klasik.

Nilai klasiknya terletak apabila ia kelihatan buruk tetapi menarik.

 

Antara koleksi basikal klasik milik Bakhtiar Afendy Mat Noor. Foto WMY/Mohd Fikri Mie.

“Harga bukan ukuran kerana untuk memiliki basikal klasik individu terbabit perlu mengeluarkan modal yang lebih, harga bergantung pada jenama, usia, kesukaran mendapatkanya serta ketulinan.

“Terdapat basikal klasik yang peratus ketulinannya tidak mencapai 100 peratus terutama apabila komponennya telah diganti, tersilap memilih kita akan tertipu oleh wakil penjual,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau yang sebelum ini menuntut di Scodland berkata, dia memiliki basikal klasik tatar besar (Penny Farthing) yang dikeluarkan pada 1880 buatan England, walaupun tidak boleh digunakan kerana keselamatan namun dia tetap berbangga menjadi antara beberapa individu di negara berpeluang menyimpan kenderaan bertayar besar itu.

Peminat basikal klasik, Bakhtiar Afendy Mat Noor menerima basikal klasik yang baharu dibeli. Foto WMY/Mohd Fikri Mie.

Bakhtiar Afendy berkata, dia mempunyai dua unit basikal tayar besar itu yang banyak digunakan dalam filem klasik dan komidi Inggeris lakonan Charlie Chaplin.Basikal berkenaan disimpan dalam studio dan dijaga dengan rapi.

Beliau menambah, antara basikal yang menarik dimiliki ialah basikal tentera yang digunakan ketika peperangan dan kawalan keselamaran di England, German dan Switzerland. Kenderaan berkenaan berwarna hijau dan dilengkapi dengan tempat meletak senjata.

“Apabila seseorang itu meminati basikal klasik mereka tidak boleh terlalu berkira untuk mengeluarkan modal bagi membeli kenderaan yang diperbuat daripada besi dan beberapa bahan campuran lain.

“Minat yang mendalam membolehkan saya mengeluarkan wang yang banyak bagi mendapatkan basikal klasik luar negara, sebelum ini hampir setiap bulan saya membeli basikal klasik daripada beberapa negara.

“Terdapat juga basikal klasik berkenaan saya beli daripada rakan dibeberapa negeri, mereka ada lebih basikal kemudian jual pada saya.

“Terdapat beberapa basikal klasik yang saya miliki masih boleh digunakan, apabila ada program tertentu seperti hari kebangsaan saya dan rakan-rakan terbabit sama dengan menunggang basikal,” katanya yang bercita-cita membuka muzium basikal suatu hari nanti.

Koleksi barangan peralatan basikal klasik turut disimpan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie.

Dia yang merupakan Naib Pengerusi Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang berkata, terdapat banyak jenama basikal klasik yang dihasilkan beberapa negara, sejarah basikal menarik kerana ia digunakan oleh semua lapisan masyarakat, keturunan dan pangkat.

Tambahnya, basikal juga mempunyai banyak saiz dan jenis kegunaan, basikal yang digunakan penduduk Barat saiznya lebih besar dan tinggi berbanding di Asia.

“Saya berharap kerajaan Pahang dapat membina muzium basikal suatu hati nanti yang akan menjadi produk pelancong terutama di daerah ini yang berstatus bandaraya. Saya sedia bekerjasama memberi pendapat selain memperagakan basikal yang dimiliki.

“Selain membuat pameran aktiviti jualan basikal juga boleh dilakukan kerana sejarah basikal di negara ini juga tidak kurang hebatnya, ia pernah menjadi kenderaan utama suatu ketika dahulu.

“Saya juga mempunyai koleksi basikal klasik luar negara yang sedia dijual dengan harga berpatutan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1