Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Bangga dapat hadiahkan parang kepada Agong

Tukang parang, Kamaruzaman Yusof (kanan) bersama pelanggan yang berminat dengan parang yang dihasilkan dibengkelnya di Kampung Tersang
RAUB, 15 Jun — “Saya amat berbangga dan terharu apabila parang buatan saya menjadi hadiah buat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Lebih manis lagi saya sendiri yang dapat sampaikan kepada Baginda,” kata tukang parang terkenal Kamaruzaman Yusof, 48.
Dia yang dikenali dengan panggilan “Akie Chek” tukang parang dikalangan masyarakat setempat berkata, selain parang dia turut menghadiahkan pedang dan pisau kepada Baginda.
Menurutnya, dia mula terbabit menghasilkan parang secara sepenuh masa sejak 15 tahun lalu, sebelum itu hanya sambilan bagi memenuhi masa terluang.

“Saya menghasilkan parang untuk hiasan dan pelbagai guna seperti menebas, memotong kayu serta sembelihan haiwan ternakan.
“Untuk menghasilkan parang berkualiti, besi yang digunakan perlulah terbaik.Teknik pembuatan juga turut memainkan utama,” katanya yang menetap di Kampung Tersang, di sini.
Menurut bapa enam cahaya mata itu, terdapat beberapa jenis besi import digunakan untuk menghasilkan parang bergantung kepada jenis kegunaan dan kehendak pelanggan antaranya besi penyerap hentakan kenderaan (spring).

Tambah Kamaruzaman lagi, untuk melancarkan kerja menghasilkan parang dia kini menggunakan pelbagai peralatan moden seperti mesin mengasah, memotong dan membakar besi yang disumbangkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
“Kejadian jari saya terkena mesin mengosok parang yang memaksa berehat selama tiga bulan antara pengalaman tidak mungkin dapat dilupakan, sejak itu saya kini lebih berhati-hati ketika bekerja.

“Saya menjual parang mengikut saiz iaitu RM15 hingga RM70 seinci, reka bentuk serta jenis besi digunakan juga turut mempengaruhi harga.Pelanggan diberi peluang menukar semula parang mereka sekiranya retak dan serpih selepas digunakan,” katanya yang turut menghasilkan sarung parang.
Katanya, dia menerima tempahan parang daripada seluruh negara termasuk Singapura. Selain kualiti dan reka bentuk, harga yang berpatutan juga menarik perhatian pelanggan.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan datang terus ke bengkelnya selain turut ada membuat tempahan melalui laman sosial Facebook.Setiap bulan dia mampu menjual antara 10 hingga 15 bilah parang dengan pendapatan lebih RM3,000.