Bang Li cari calon baharu Awang Batil

 Bang Li cari calon baharu Awang Batil

Oleh Mohd Kamal Ahmad

PERLIS, 26 Feb — Legasi penglipur lara, Awang Batil yang popular di negeri Indera Kayangan, dikhuatiri bakal berakhir jika calon pewaris untuk meneruskan budaya itu tidak ditemui.

Menurut Romli Mahamud, 66, selaku pewaris lapis kelima Awang Batil sekarang berkata, pemegang watak itu memerlukan seseorang yang meminati seni budaya itu dan semestinya mahir bermain empat alat muzik dan berkemampuan bercerita secara spontan satu tempoh yang lama.

“Untuk menjadi Awang Batik, dia mesti orang seni. Dia mesti mahir bermain batil, serunai, biola dan rebana. Dia juga mesti cekap menukar dua topeng yang digunakan iaitu Topeng Pak Nujum dan Topeng Hulubalang.

“Awang Batil juga mesti petah bercerita dan menukar suara untuk lebih kurang 10 watak ‘Awang’ dalam setiap persembahan. Ini yang paling sukar. Saya ada jumpa ramai calon tetapi dia tidak pandai bercerita walaupun pandai bermain alat muzik,” katanya yang mesra dipanggil Bang Li, kepada Wacana.my.

Beliau tinggal di Kampung Pokok Sena 3 dekat Chuping dan pernah berulang-alik untuk mengajar muzik dan cerita Awang Batil di Taman Budaya, Kangar pada setiap Sabtu dan Ahad. Kehebatan bakat dan kemahiran Bang Li turut melayakkan beliau mendapat pengiktirafan Tokoh Orang Hidup daripada UNESCO pada 2015 dan sebelumnya Amazing of Malaysia 2006.

Awang Batil lapis pertama dikenali sebagai Tok Mat Gelam, diikuti Awang Kelam, Tok Salamon dan Mahamud Wahid yang juga ayah Bang Li. Dari kalangan lima Awang Batil ini, Awang Kelam dikatakan paling hebat kerana kecacatan penglihatannya memberi kelebihan kepadanya supaya tidak gugup ketika membuat persembahan di hadapan penonton. Dipercayai, ada lagi lapis Awang Batil yang terdahulu tetapi tidak dapat dikenal pasti.

Cerita-cerita Awang Batil meliputi kisah Awang Ada Duit Semua Jadi,  Awang Akar Larak, Awang Kambing Berak Terbit Emas, Awang Parang Besar, Awang Denoi,  Awang Geliga Embun, Awang Segan, Awang Lurus (Betul), Awang Biawak dan Awang Menipu. Penceritaannya mengandungi unsur-unsur moral, sindiran, nasihat, teladan dan aspek berdikari.

Kejayaan seorang Awang Batil ialah apabila penonton asyik menyaksikan persembahan. Ini mengingatkan Bang Li kepada Allahyarham Kassim Masdor, seorang komposer dan penulis lirik lagu terkenal yang begitu asyik menyaksikan persembahan beliau suatu ketika dulu.

Berikutan kesukaran mencari calon ganti, beliau melakukan ‘eksperimen’ untuk mewujudkan Kumpulan Awang Batil dengan menggabungkan individu yang masing-masing pandai bermain alat muzik dan seorang yang menjadi Awang Batil untuk bercerita.

Bang Li berkata, langkah menubuhkan Kumpulan Awang Batil adalah pilihan terakhir sekiranya calon Awang Batil tidak ditemui dan sekurang-kurangnya akan menjamin kesinambungan legasi Awang Batil pada masa depan dan satu khazanah budaya khususnya rakyat Perlis, dapat dipertahankan daripada lenyap.

Ketika ini, persembahan Awang Batil semakin jarang diadakan kerana kurang sambutan. Ini berbeza keadaannya sebelum ini di mana Bang Li kerap dijemput membuat persembahan anjuran kerajaan dan swasta termasuk ke Jepun.

Sebaliknya, Bang Li kini lebih kerap bermain biola bersama satu kumpulan gendang silat yang kerap mendapat jemputan membuat persembahan di sekitar Kedah dan Perlis. Bayaran menjadi pemain biola dapat menambahkan pendapatan beliau di samping hasil mengusahakan bendang seluas tiga relong.

Bang Li berjinak-jinak dengan Awang Batil pada usia seawal 8 tahun dan menjadi Awang Batil pada usia 41 tahun. Beliau mewarisi kemahiran itu daripada bapanya tetapi bapanya tidak mewarisinya daripada datuknya.

“Anak saya juga tidak mewarisi Awang Batil daripada saya. Saya pun tidak menggalakkan sebab saya mahu dia berjaya dalam pelajaran dan ada pendapatan yang lebih baik berbanding imbuhan menjadi Awang Batil,” katanya anak seni itu yang pernah dibayar antara RM600 hingga RM3,000 untuk satu persembahan. Ini tidak termasuk kos pengangkutan, bilik penginapan dan tiket penerbangan jika persembahan diadakan di luar Perlis.

Menurutnya, watak Awang Batil sebelum ini dikenali sebagai Awang Belanga dan beliau melakukan ubahsuai dengan menambah alat muzk rebana dan biola dalam persembahan penglipur lara itu selain batil dan serunai.

“Apapun, saya tetap menerima sesiapa yang mahu menjadi Awang Batil tetapi dengan syarat-syarat ketat iaitu mesti orang seni dan pandai bercerita serta mahir bermain batil, serunai, biola dan rebana,” katanya menutup perbualan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

68  +    =  69