BAM, Zii Jia temui resolusi, umum minggu depan

 BAM, Zii Jia temui resolusi, umum minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 JAN 2022 – Tidak mahu memanjangkan isu, pertemuan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain ranking ketujuh dunia, Lee Zii Jia, dianggap menemui jalan penyelesaian selepas masing-masing menerima resolusi ‘situasi menang-menang’, yang akan diumumkan minggu depan.

Ia sekaligus menyaksikan petanda positif bagi kedua-dua pihak serta kepentingan dalam bidang sukan utama negara.

Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang BAM, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, pertemuan itu diadakan selepas jaguh perseorangan negara berkenaan mengemukakan surat rayuan pada Ahad.

“Kedua-dua pihak sudah sampai satu kesudahan yang akan diumumkan minggu depan, tapi yang pasti ia satu kesudahan memuaskan hati kedua-dua pihak serta bagus untuk negara dan BAM.

“Cumanya ialah kami akan membawa hasil keputusan hari ini kepada ahli majlis BAM untuk mendapatkan pengesahan rasmi dan kemudian akan membuat pengumuman minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita, selepas pertemuan itu, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, semalam.

Jumaat lalu BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022.

Ia susulan keputusan Zii Jia untuk meninggalkan badan induk itu bagi membolehkannya bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama terhadap bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

Jahaberdeen berkata, BAM sememangnya tidak pernah ‘bermusuh’ dengan Zii Jia tetapi hanya mengambil keputusan untuk tidak mendaftarkannya menyertai kejohanan antarabangsa.

“Kami mengambil tindakan selari dengan dasar persatuan. Tapi sekarang semua sudah OK sebab kita sudah melalui proses rayuan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

fhatihah Zakinan

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  9  =  1