Bali tangguh buka pintu kepada pelancong asing

 Bali tangguh buka pintu kepada pelancong asing

Foto Reuters

JAKARTA, 29 Jun – Kerajaan Indonesia akan menunggu sehingga kes COVID-19 turun dengan lebih banyak sebelum membuka Bali semula kepada pelancong asing, kata menteri pelancongan negara itu.

Pandemik ini telah mengakibatkan ekonomi pulau yang terkenal di reata dunia dengan pantai yang indah, aktiviti malam dan budaya Hindu yang unik itu runtuh.

“Kami sasarkan Bali akan dibuka semula pada hujung bulan Julai atau awal Ogos, tetapi kami akan mempertimbangkan keputusan ini berdasarkan jumlah kes COVID-19,” kata menteri pelancongan dan ekonomi budaya Indonesia, Sandiaga Uno, di dalam satu temuramah bersama Reuters Isnin lalu.

“Kita akan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih kondusif. “

Jangkitan koronavirus ini meningkat secara mendadak dalam beberapa minggu ini, termasuklah di Bali, yang menyaksikan peningkatan empat kali ganda dalam tempoh sebulan, walaupun jumlah ini bermula daripada angka yang kecil, kira-kira 200 kes sehari, menurut data rasmi.

Uno berkata beliau akan menunggu sehingga kes di Bali menurun ke 30 atau 40 sehari sebelum pulau itu dibuka semula.

Namun begitu, keadaan jangkitan sebenar di Bali tidak dapat dipastikan oleh kerana kadar ujian yang amat rendah, yang kini hanya 15% daripada kadar minima yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Kerajaan Indonesia memberikan penekanan kepada usaha vaksinasi di Bali, dan usaha ini menampakkan hasil awal yang positif apabila kebanyakan mereka yang dijangkiti virus ini menunjukkan simptom yang ringan, kata Uno. Kadar penggunaan katil hospital di Bali berada di bawah 50% berbanding hampir 100% di kepulauan Jawa yang lebih padat dengan penduduk.

Kira-kira 71% penduduk Bali telah menerima dos pertama vaksin, dan Uno berkata sasaran vaksinasi penuh bagi 70% penduduk Bali akan dicapai pada akhir Julai ini.

Pelancong tempatan yang ingin memasuki Bali diwajibkan menjalani ujian PCR, bagi memutuskan rantaian jangkitan dari daerah lain.

Disamping pelancong biasa, Bali juga menarik minat ‘nomad digital’ – usahawan antarabangsa yang menjalankan perniagaan berasaskan internet. Golongan ini akan diberikan visa lima tahun, di bawah skim istimewa.

“Jika mereka menjana pendapatan di dalam Indonesia, mereka akan dicukai, tetapi jika pendapatan mereka datang daripada luar, mereka tidak perlu membayar sebarang cukai,” kata Uno.

 

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3  +  4  =