• Friday, 18 June 2021, 1:54 am

Balak gergasi bukan dari zon perlindungan – KETENGAH

 Balak gergasi bukan dari zon perlindungan – KETENGAH

Gambar lori mengangkut balak gergasi yang disiarkan dalam FB Senator Datuk Razali Idris, semalam.

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Video tular mengenai sebuah lori mengangkut empat tual balak gergasi yang dikatakan dari Terengganu melalui Lebuhraya Pantai Timur, Ahad lalu terus mendapat perhatian netizen dan pihak berkuasa.

Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris berkata, beliau dimaklumkan balak tersebut dari kawasan konsesi balak di Hulu Dungun tetapi bukan dari Kompartment 5 Hutan Simpan Pasir Raja yang terdapat pokok cengal terbesar dan tertua di Malaysia.

Senator Datuk Razali Idris berkata, beliau dimaklumkan balak tersebut dari kawasan konsesi balak di Hulu Dungun tetapi bukan dari Kompartment 5 Hutan Simpan Pasir Raja

Pokok cengal ini spesies Neobalanocarpus heimii dengan ukur lilit 1,675 cm lilitan dan 65 meter tinggi. Ia diiktiraf sebagai pokok cengal terbesar di Malaysia dan berusia kira-kira 1,300 tahun.

“Mudah-mudahan balak ini bukan dari Kawasan Hutan Simpan Kekal Perlindungan seperti di Kawasan Chengal Besar Hulu Dungun,” katanya kepada Wacana.my, hari ini.

Beliau menegaskan, semua pokok balak dalam Kawasan Chengal Besar adalah khazanah yang perlu dipertahankan dan setakat ini telah diisytiharkan sebagai produk industri ekopelancongan oleh KETENGAH.

Katanya, walaupun balak tersebut dikatakan ditebang dalam kawasan konsesi yang telah diluluskan, pihak yang terlibat sewajarnya memantau kerja-kerja penebangan supaya pokok balak yang sebegitu besar tidak ditebang.

“Pemegang konsesi mungkin tidak salah, tetapi secara etikanya janganlah ia ditebang sebab saiznya yang begitu besar dan biarlah ia tidak ditebang supaya terus kekal menjadi khazanah kita yang tidak akan terganti atau boleh diganti,” katanya.

KETENGAH masih berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini, katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *