Bajet 2022 : PDRM tingkat mutu perkhidmatan kepada masyarakat – Acryl Sani

 Bajet 2022 : PDRM tingkat mutu perkhidmatan kepada masyarakat – Acryl Sani

Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima peruntukan RM13 juta bagi memperkasa Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) termasuk mewujudkan 100 perjawatan baharu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peruntukan itu mampu meningkatkan keberkesanan siasatan oleh bahagian D11 yang akan diperkasa di setiap kontinjen dalam meninggikan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Beliau berkata peruntukan yang diumumkan juga akan memastikan PDRM khususnya D11 dapat menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam aspek siasatan jenayah seksual melibatkan mangsa yang terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

“Selain itu, penambahan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan sempadan yang berterusan oleh anggota penguatkuasaan.

“Infrastruktur berkenaan akan memantapkan keupayaan PDRM memastikan keselamatan di kedua-dua negeri tersebut.

“Pos-Pos yang bakal dibina akan menyumbang secara langsung kepada peningkatan kapasiti PDRM untuk memastikan kawalan keselamatan sempadan negara sentiasa di tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Acryl Sani berkata, pihaknya turut berterima kasih atas peruntukan yang melibatkan penggantian dan pembaikan lif dan kuarters anggota PDRM.

“Perkara tersebut merupakan bukti komitmen kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan ahli keluarga PDRM dalam menyediakan kuarters yang lebih selesa dan selamat untuk didiami.

“PDRM akan memastikan peruntukan serta penambahbaikan yang diumumkan oleh kerajaan melalui belanjawan 2022 dimanfaat sepenuhnya bagi memperkasa lagi kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dalam memelihara ketenteraman dan keamanan negara,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

85  +    =  88