Bagai diberi peluang kedua, pesakit COVID kongsi pengalaman

 Bagai diberi peluang kedua, pesakit COVID kongsi pengalaman

Walid bergambar bersama pesakit lain ibarat keluarga besar di MAEPS.

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Episod bermula di lokasi terakhir dikunjungi pada awal bulan Mei lalu.

Walid Abu Dzar, pemilik syarikat Daddy’s Kitchen berurusan di sebuah bank di pusat bandar bagi melakukan transaksi pembayaran gaji bagi kakitangan.

“Sewaktu berada di dalam bank tersebut, secara tiba-tiba semua pintu ditutup dan kami dimaklumkan bahawa terdapat kes jangkitan sebanyak 12 kes di bank tersebut,” katanya.

Menurut Walid beliau dimaklumkan oleh pengurus cawangan untuk segera menyelesaikan urusan dan terus pulang ke rumah.

“Waktu tu perasaan mula bercampur baur takut, risau segalanya bermain di fikiran,” katanya.

Dua hari selepas kejadian tersebut Walid mula batuk-batuk dan sakit tekak.

Walid Abu Dzar, pemilik syarikat Daddy’s Kitchen berkongsi pengalaman dijangkiti COVID-19

“Badan rasa nak demam makan paracetamol pun tak jalan dan ketika itu hati mula rasa tak sedap kerana memikirkan mak, ayah dan anak yang tinggal bersama,” katanya.

Atas inisiatif sendiri, Walid mengambil keputusan nak buat ujian PCR di sebuah klinik swasta di kawasan rumah.

Keesokannya, perkara yang paling ditakuti berlaku, lebih kurang jam 11.30 pagi Walid menerima panggilan daripada doktor yang memaklumkan keputusannya ujian COVID-19 adalah positif dan bacaan virus adalah 17.

“Bermakna virus sangat aktif dan jangkitan mudah berlaku,” katanya

Pada waktu itu Walid sudah lupa akan dirinya dan hanya memikirkan nasib yang bakal menimpa keluarga kecilnya itu.

Walid meminta semua ahli keluarga untuk membuat ujian PCR kerana mereka tinggal serumah.

Seperti yang dijangka, kesemua ahli keluarganya juga disahkan positif.

Perasaan bersalah menyelubungi dirinya kerana Walid merupakan satu-satunya yang berkerja dan menyara keluarga.

“Sedangkan mereka hanya duduk dirumah dan tidak keluar kemana mana, namun mereka turut dijangkiti atas kealpaan saya,” katanya kepada Wacana.my.

Hanya Allah Yang tahu perasaan Walid waktu ini, dengan keadaan ayah berusia 59 tahun dan juga seorang pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis.

Ibunya yang berusia 56 tahun pula merupakan pesakit kencing manis dan darah tinggi.

Lebih menyayat hari apabila anaknya yang berumur 6 tahun juga turut dijangkiti.

Panggilan pertama diterima oleh Walid dan ayahnya setelah tiga hari didapati positif COVID-19.

Makanan yang dihidangkan kepada pesakit yang berada di MAEPS.

“Kami dimaklumkan ayah akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana tergolong dalam pesakit berisiko dan perlu menjalani rawatan dialisis manakala saya akan dibawa ke MAEPS bagi menjalani kuarantin selama 10 hari,” katanya.

Nasib tidak menyebelahi ibunya kerana mengalami sesak nafas pada hari ketiga didapati positif.

“Ibu dikejarkan ke Hospital PPUM kerana kekurangan oksigen. Keadaan ibu agak kritikal kerana memerlukan bantuan oksigen. Ibu telah ditelangkupkan selama 3 hari bagi membantunya untuk bernafas,” kata Walid sambil menahan sebak.

“Bantuan pernafasan digunakan sehingga hari ke enam sebelum keadaan semakin stabil dan ibu mampu untuk bernafas seperti sediakala,” katanya.

Beberapa kali menahan air mata Walid tidak putus mengucapkan syukur kerana anak kecilnya yang turut dijangkiti COVID-19 tidak menunjukkan sebarang simptom hanya menjalani kurantin di rumah dibawah jagaan ahli keluarga lain.

Perasaan sedih, rasa bersalah dan menyesal kerana menyebabkan seluruh keluarga terjangkit COVID-19 beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Syawal yang lalu telah memberi kesan mendalam kepada Walid Abu Dzar.

Hasrat untuk beraya bersama tidak kesampaian apabila seisi keluarga terpisah menjelang Aidilfitri Dan tiada Hari Raya buat kami.

Ruangan solat di MAEPS.

“Sewaktu saya dibawa ke MAEPS keadaan saya agak teruk. Saya mula demam dan alami batuk yang teruk,” katanya.

Tambah Walid, Deria bau dan rasa mula hilang, dan paling teruk tubuh beliau mula dinaiki kesan gatal seperti alahan seluruh badan.

” Ada ketika nak tarik nafas juga rasa teramat berat,” katanya.

Ketika ini dalam fikirannya hanya memikirkan keluarga, keadaan diri, mungkin kematian semakin menghampiri.

“Semua simptom dimaklumkan kepada doktor  di MAEPS dan rawatan lanjut dilakukan, saya disahkan sebagai pesakit COVID-19 tahap 3,” katanya.

Keadaan kesihatan yang agak lemah membuatkan Walid bermuhasabah diri seketika, jika ini adalah perjalanan terakhir, Walid mohon agar diambil nyawanya dalam khusnol khotimah.

Setiap 2 jam doktor dan jururawat akan memantau keadaannya kerana simptom yang agak teruk membuatkan Walid semakin gusar.

“Walaupun kami agak ramai di sana, doktor dan jururawat melayan kami dengan sangat baik, mereka cuba membantu sebaik mungkin untuk merawat kami,” katanya.

Walid percaya percaturan Allah itu lebih indah.

“Pada pagi raya Aidilfitri, kami dapat solat sunat Aidilfitri bersama, mendengar khutbah dan kami dihidangkan dengan juadah Aidilfitri yang cukup mewah bagi saya iaitu nasi impit, lemang, kuah lodeh, rendang. Semua pesakit dapat rasa, terubat rindu dihati kerana dapat beraya bersama rakan rakan dari pelbagai agama, bangsa, latar belakang dan di sana pesakit ibarat satu keluarga besar saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Walid bergambar bersama pesakit lain ibarat keluarga besar di MAEPS.

Pemantuan secara berkala dilakukan oleh doktor dan ubat diberikan bagi pesakit mempunyai simptom teruk seperti Walid.

Menurut Walid bacaan suhu badan dan tahap oksigen dipantau ketat oleh doktor dan jururawat.

Jika keadaan oksigen kurang daripada 94% pesakit akan dipindahkan ke unit pemantuan rapi bagi tindakan susulan.

Ketika di MAEPS Walid berkata beliau banyak bermuhasabah diri dan melihat keadaan persekitaran ramai warga tua yang dijangkiti, anak muda dan bayi.

“Ketika itu seperti ditampar, saya sedar bahaya COVID-19 ini benar dan tidak memilih mangsa,” katanya.

Setelah selesai menjalani kuarantin selama 10 hari di MAEPS, Walid dibenarkan pulang.

Manakala ayah dan ibunya masih menjalani rawatan di hospital dan perlu menghabiskan rawatan selama 14 hari.

Setelah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah Walid Abu Dzar masih mengalami alahan pada badan dan kadangkala kadar pernafasan agak pendek.

“Sakit dada dalam masa tempoh 2 minggu selepas keluar dari MAEPS dan pesanan doktor untuk tidak melakukan aktiviti lasak sementara sehingga keadaan diri kembali stabil saya amalkan sehingga kini,”

Ibarat diberi peluang kedua untuk hidup, Walid bersyukur masih diberi ruang dan peluang untuk bersama keluarga.

“Alhamdulillah setelah 23 hari, kami dapat bersatu kembali. Ibu, ayah dan anak saya  semua telah selesai menjalani kuarantin dan rawatan COVID-19,” katanya.

Hanya Allah Yang tahu perasaan waktu ini, apabila dibawa ke MAEPS mahupun hospital untuk rawatan, ibarat kita berada di medan perjuangan, antara pulang dalam keadaan baik mahupun pulang terkujur kaku.

“Alhamdulillah kami sekeluarga diuji dan kami bersatu kembali sebagai sebuah keluarga seperti mana kami berpisah,” katanya.

Bagi rakyat Malaysia yang tidak dijangkiti, sedarlah bahawa COVID-19 adalah benar, terlalu sukar untuk digambarkan keadaan melaluinya, sakit perit, jerih.

Sambutan hari jadi keluarga selepas keluar dari MAEPS.

Walid turut berpesan jika ada keluarga yang dijangkiti, berikan sokongan moral buat mereka, kerana sokongan mereka amatlah diperlukan bagi melawan wabak ini.

Walid juga meyarankan kepada semua, usahlah mementingkan diri, hargailah ahli keluarga kita, sayangi mereka mungkin kita mampu untuk melawan wabak ini, tetapi bagi warga tua yang berisiko dan anak-anak kecil, wajib kita lindungi.

Patuhilah SOP yang telah ditetapkan, Jaga kesihatan, kerap basuh tangan, sanitasi diri dan terus mandi jika pulang dari luar kerana COVID-19, kita tidak tahu dimana ia berada.

Kepada yang pernah dijangkiti, anda harus terus kuat melawan wabak ini.

Setiap ujian pasti ada rahmat disebaliknya, bersyukur and masih diberi peluang kedua, redha dengan masa silam dan terus tabah menghadapi hari-hari yang mendatang.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *