Badan pilihanraya pemudah cara, bukan sekadar penentu peraturan

 Badan pilihanraya pemudah cara, bukan sekadar penentu peraturan
oleh Amerul Muner Mohammad

Pilihan raya adalah antara tunggak utama dalam sistem demokrasi. Menerusi proses ini, rakyat di dalam negara tersebut diberi kebebasan untuk memilih ‘rakan sebaya’ untuk mewakili mereka di dalam urusan penggubalan undang-undang di institusi tertinggi iaitu Parlimen.

Pengurusan pilihan raya adalah bayangan tahap demokrasi sesebuah negara. Dengan penekanan yang ketara dalam pengurusan pilihan raya, dan harapan yang tinggi diletakkan ke atas sesebuah badan pengurus pilihan raya (EMB), adalah mustahak untuk badan tersebut disokong oleh undang-undang yang komprehensif. Ini adalah perlu bagi memastikan kredibiliti keputusan pilihan raya tidak dipertikaikan, malah keabsahan penubuhan kerajaan diterima oleh semua pihak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia ditubuhkan mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dengan tugas dan tanggungjawab diperuntukkan dalam Perkara 113 dokumen yang sama. Fungsi pertama SPR ialah menjalankan pilihan raya ke Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri. Fungsi kedua, ialah menyediakan dan menyemak daftar pemilih bagi pilihan raya. Ketiga, mengkaji semula pembahagian Persekutuan dan Negeri-negeri kepada bahagian pilihan raya dan mengesyorkan apa-apa perubahan mengenainya yang difikirkan perlu mengikut jangka masa ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping Perlembagaan, terdapat pelbagai akta dan peraturan yang terpakai di dalam pengurusan pilihan raya. Akta Pilihan Raya 1958, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981, Peraturan-peraturan Pilihan Raya  (Pendaftaran Pemilih) 2002, Peraturan-peraturan  Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 adalah antara undang-undang utama berkuat kuasa untuk mengawal selia pilihan raya ketika ini.

Pilihan raya harus dilaksanakan mengikut ruang litup undang-undang tanpa memberi kelebihan kepada mana-mana pihak bagi memastikan integriti pilihan raya adalah terjamin. Undang-undang yang ketat adalah bertujuan bagi membolehkan rakyat yang layak dan berdaftar sebagai pengundi dapat melaksanakan hak mereka tanpa sebarang rintangan.  Di samping tafsiran undang-undang dan pelaksanaan pilihan raya yang ketat, EMB juga bertanggungjawab mengambil  semua langkah perlu bagi memudahkan rakyat membuang undi apabila tiba masanya.

Keputusan pilihan raya yang dikeluarkan oleh EMB yang efisien dan kredibel tidak akan dipersoalkan dan diterima oleh semua pihak. Hampir kesemua EMB, tidak kira sama ada mereka adalah suruhan jaya bebas, jabatan kerajaan yang menjalankan pilihan raya, atau badan campuran, sentiasa tertakluk kepada ciri-ciri antarabangsa bagi badan pengurusan pilihan raya, iaitu bebas, berintegriti, tidak memihak, telus, efisen, profesionalisme dan berorientasikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Undang-undang pilihan raya yang komprehensif dan pelaksanaan yang tegas tidak memberi makna sekiranya perkara tersebut lebih menyusahkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka. Antara contoh sering diperkatakan pemerhati hak asasi manusia adalah seperti berikut:  pengundi bebas untuk mengundi tetapi pergerakan fizikal tidak dibenarkan dan cara mengundi alternatif tidak disediakan; pemerhati pilihan raya hanya dibenarkan membuat pemerhatian di lokasi yang ditetapkan pihak pengurusan pilihan raya dan tidak dibenarkan untuk meneliti dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pilihan raya; laporan pemerhati hanya untuk kegunaan dalaman pihak pengurusan; kertas-kertas undi daripada pengundi yang berada di luar negara diwajibkan untuk dihantar untuk pengiraan oleh pegawai pengurus pilihan raya di Malaysia tanpa jaminan bahawa kerta-kertas undi tersebut akan diterima oleh pegawai pengurus pilihan raya  dalam masa yang ditetapkan.

Mengapa tidak kertas undi luar negara dikira di kedutaan kita di negara-negara tersebut. Definisi pengundi tidak hadir terlalu ketat sehingga lebih ramai yang tidak termasuk ke dalam tafsiran daripada pengundi tidak hadir yang berdaftar; pesakit di hospital pada hari mengundi tidak akan dapat mengundi dan tiada alternatif yang disediakan; tahanan yang berada di dalam penjara tidak dikategorikan sebagai pengundi tidak hadir walaupun adalah mustahil bagi mereka untuk hadir di pusat mengundi. Banyak lagi contoh yang boleh dinyatakan di sini.

Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dua tahun lalu untuk mengurangkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Ini adalah suatu langkah yang amat memberangsangkan terutama kepada golongan muda yang menjadi tunggak kepada masa hadapan negara ini. Namun sehingga artikel ini ditulis, undang-undang tersebut masih belum dapat dilaksanakan kerana pengurangan umur mengundi harus dilakukan dalam pendaftaran pengundi secara automatik dan banyak lagi faktor yang harus dilicinkan oleh SPR sebelum undi18 dapat terlaksana sepenuhnya. Sebagai sebuah organisasi yang perlu mengutamakan perkhidmatan kepada masyarakat, EMB harus mencari jalan supaya hasrat penggubalan atau pindaan sesuatu undang-undang boleh dinikmati oleh kelompok sasaran secepat mungkin.

Tidak dinafikan, SPR telah memperkenalkan pelbagai penambahbaikkan dalam urusan pilihan raya bagi membolehkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih mudah dan selesa sekalipun dalam keadaan yang mencabar seperti pandemik COVID-19 yang masih menjadi ancaman kepada dunia. Kita harus sentiasa ingat bahawa SPR menjalankan tugas mereka mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada. Bagi membolehkan SPR menjalankan tugas mereka dengan berbeza, undang-undang yang dianggap lapuk harus dipinda dan undang-undang baharu perlu diperkenalkan. SPR juga harus diberi sumber yang mencukupi bagi melaksanakan tugas mereka dengan lebih sempurna. Adalah tidak adil untuk masyarakat mengharapkan sesuatu yang baharu dari SPR tanpa memberikan undang-undang dan sumber yang baharu.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mengemukakan pelbagai cadangan termasuk memberi kuasa menyiasat dan menguatkuasakan undang-undang kepada SPR agar badan tersebut menjadi harimau yang bertaring dan pemudah cara yang berhemah dalam pengurusan pilihan raya.

Penulis adalah Mantan Ketua Eksekutif, Electoral Reform Committee

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  5  =