Bacalah Surah ‘Abasa dan fahami maksudnya

 Bacalah Surah ‘Abasa dan fahami maksudnya
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim
BACA Surah ‘Abasa iaitu surah yang ke-80 dalam Al-Quran. Bukan untuk mengatakan bahawa hari kiamat telah datang, kerana Allah saja yang maha mengetahui bilakah hari kiamat akan berlaku. Tetapi untuk sedikit perbandingan dan pemikiran akibat COVID-19 yang melanda ke seluruh pelusuk dunia pada hari ini iaitu sejak akhir 2019 yang lalu hingga sekarang, yang mencemaskan dan menjadikan manusia walau setinggi mana sekali pun pangkat darjat dan kedudukannya, merasa panik dan takut, hampa dan serba salah kerana tidak dapat berniaga, bersosial, bersukan dan belajar. Malah semua cemas berkurung di dalam rumah dan mencari-cari serta merasai seolah-olah makhluk perosak yang tidak kelihatan itu sedang menghampirinya.
Lihat saja ayat 33 hingga akhir surah iaitu ayat 42 ketika Allah SWT memberikan gambaran keadaan manusia dan keluarga pada hari kiamat.  Sungguh pun kehadiran COVID-219 bukanlah kehadiran kiamat tetapi gambaran umumnya memberikan khayalan yang sama dengan suasana ini..
“Apabila berlaku suara jeritan yang dahsyat, pada hari yang seorang itu lari dari saudaranya, dan ibu serta bapanya, dan isteri serta anak-anaknya, kerana setiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara yang amat cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Wajah (orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri. Ketawa lagi bersuka ria. Dan wajah (orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu. Diliputi oleh kehitaman dan kegelapan. Mereka itulah orang yang kafir, yang derhaka.”
Penyakit yang melanda kita pada hari ini ibarat gambaran kecil bagi makna yang dinyatakan Allah di atas. Tiupan sangka kala yang kedua pada hari kebangkitan, ibarat jeritan yang dahsyat dan kita seolah-olah mendengar suara COVID-19 dari seluruh dunia yang amat mencemaskan, sehingga setiap orang dari kita yang telah terkena jangkitan akan merasa sedih dan dukacita, malah berpisah dari keluarga, ibu bapa, anak isteri serta seluruh ahli keluarganya. Tetapi orang yang sihat merasa tenteram dan lega, ketawa dan gembira.
Keadaan yang berlaku sekarang sememangnya menjadi pelajaran yang amat bermanfaat bagi kita untuk mengkaji kekuasaan Allah, sebagai Tuhan Yang Esa dan berkuasa. Bacalah ayat-ayat Allah yang lebih banyak tentang peristiwa begini, dan apakah yang akan berlaku kemudiannya pada hari kebangkitan. Tujuannya supaya kita menjadi bertambah insaf dan sedar bahawa hidup kita di dunia yang penuh dengan peristiwa ini adalah dugaan dan ibrah atau pengajaran untuk hari kemudian. Lalu bertambah kuatlah iman dan amalan kita yang baik seperti yang diajarkan oleh Allah SWT iaitu berbuat baik dengan mematuhi perintah Allah SWT, berbuat baik sesama manusia dan alam semesta seluruhnya.
COVID-19 membawa pengajaran untuk semua manusia. Bagi yang beragama, cuba memahami rahsia Tuhan, tetapi yang lebih kuat ialah bagi orang Islam yang beriman kepada Allah Yang Maha Esa. Manusia tidak takut virus lain seperti ketakutannya kepada virus penyakit ini. Terasa ia berada di mana-mana, dan merebak ke dalam kumpulan manusia seluruhnya dengan begitu mudah tanpa disedari.
Mungkin inilah pertama kalinya manusia dikejutkan dengan makhluk ghaib yang mampu melenyapkan manusia seluruhnya dari alam ini sekiranya manusia tidak punya kesedaran dan usaha untuk cuba menghalangnya.
Oleh itu marilah kita menyedari kedudukan kita sebenarnya di hadapan takdir Tuhan ini. Baru tersekat hidup kita dalam masa yang singkat saja, kita sudah hidup dalam kegelisahan seolah-olah tanpa makanan dan minuman, tanpa keluarga dan anak-anak yang sentiasa riang, tanpa masa yang tenteram dan tanpa hidup yang biasa.
Mungkin ramai orang yang baru terfikir, rupanya Tuhan boleh melakukan apa saja kepada manusia tanpa upaya mereka untuk menyekatnya. Rupanya semua manusia haruslah berpadu tenaga dan fikiran untuk menolak hanya angkara makhluk yang tidak kelihatan itu.
Amat banyak rupanya faktor ketuhanan yang dapat dipelajari dari peristiwa dunia ini yang hanya baru berusia kira-kira satu tahun empat bulan. Marilah kita berikhtiar menurut perancangan sesama kita yang masing-masing ahli dalam bidang ilmunya. Sedarlah bahawa hal ini ialah dugaan dan badaian ombak yang kecil saja untuk mengingatkan manusia kini yang sering lupa dan lalai, malah sering bertelagah dan berkonflik sedangkan ajaran yang baik telah pun sampai kepada mereka..
Kini usaha manusia yang berilmu dan bertekad kukuh telah berjaya menciptakan jenis vaksin yang bakal menyelamatkan jiwa manusia. Walau pun belum terjamin bahawa vaksin ini akan menghapuskan COVID-19 sama sekali, tetapi usaha manusia bersama ke arah kebaikan dan kesembuhan penyakit manusia telah menunjukkan hasil dari sudut penggunaannya dan dalam masa yang tidak lama lagi, mungkin dapat menghapuskan wabak ini..
Inilah usaha manusia dan ikhtiarnya yang sering digalakkan oleh agama kita sendiri. Banyak juga tenaga dan pemikiran umat Islam sendiri yang disumbangkan dalam usaha ini.
Walau pun dunia ini masih belum kiamat, namun gambaran ini seolah-olah telah menunjukkan tanda kiamat kecil yang sering berlaku dari masa ke masa. Bacalah Surah ‘Abasa tersebut dan fahamilah maksudnya yang jelas dan terang serta gambarannya yang tersembunyi dan masih belum menjelma.
Umat Islam akan bertambah imannya kepada Allah Yang Maha Esa dengan iktibar dan pelajaran yang dipelajarinya dari perubahan alam semesta, kehidupan manusia seluruhnya, dan segala perkembangan dan perubahan yang berlaku di sekelilingnya.
Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

57  −    =  48