Azizulhasni perlu doa rakyat Malaysia demi emas

 Azizulhasni perlu doa rakyat Malaysia demi emas

TOKYO, 7 Ogos — “Saya tak minta banyak.. Tolong doakan saya untuk esok”, demikian adalah pesanan pelumba basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang kepada rakyat Malaysia dalam misi merangkul emas pertama negara di pentas temasya Olimpik.

“Saya tak minta banyak… saya minta semua rakyat Malaysia tak kira Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, tolong doakan saya untuk perlumbaan esok.

“Perlumbaan esok memang sukar kerana ada tiga perlumbaan dalam masa satu hari… ada suku akhir, separuh akhir dan final, jadi doakan semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemu bual Nadi Arena.

Azizulhasni atau nama gelarannya Pocket Rocket Man dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom menepati ramalan awal apabila mara ke saingan suku akhir acara keirin.

Lebih mengagumkan, Shah Firdaus menunjukkan semangat darah pahlawannya apabila layak walaupun mengalami kecederaan selepas jatuh gara-gara bergesel dengan pelumba Great Britain, Jack Carlin sekali gus memaksanya beraksi di saingan repechages.

Azizul berkata percaturan yang bijak perlu dibuat bersama jurulatihnya John Beasly dan tidak terlalu fokus untuk menang dua perlumbaan awal esok dalam usaha memburu slot ke pentas final.

Tambahnya, dia harus bersedia dengan apa jua situasi memandangkan semua pelumba terdesak untuk menamatkan saingan di kedudukan podium.

“Kalau boleh saya mahu menang secara bersih dan selesa tanpa perlu beraksi di perlumbaan repechages. Saya perlu bijak dan tidak menghabiskan tenaga terlalu awal.

Selain itu, saya kena cuba meloloskan diri daripada pelumba lain dan bersedia kerana pertimbangan ketika berlumba tidak begitu waras,” katanya.

Pada saingan suku akhir acara keirin esok, Azizulhasni akan berentap dengan lima pelumba iaitu Stefan Boetticher dari Jerman, Kwesi Browne (Trinidad & Tobago), Matthew Glaetzer (Australia) dan pelumba tuan rumah, Yuta Wkimoto dalam usaha memburu empat slot ke separuh akhir.

Manakala Muhammad Shah Firdaus pula akan kembali membuat perhitungan dengan Jack Carlin dalam satu lagi suku akhir bersama Callum Saunders (New Zealand), Maximilian Levy (Jerman), Nicholas Paul (Trinidad & Tobago) serta Jair Fa En Tjon dari Suriname.

Pada Olimpik Rio 2016 di Brazil, Azizulhasni berjaya meraih pingat gangsa acara tersebut dan ini merupakan penampilan keempat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu di pentas Olimpik selepas penampilan sulung di Beijing (2008) dan kedua di London (2012).

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  6  =