Azizulhasni ditawar jadi pensyarah UPSI

 Azizulhasni ditawar jadi pensyarah UPSI

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang

TANJUNG MALIM, 7 Sept — Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ditawarkan jawatan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Surat tawaran jawatan Pensyarah Universiti Gred DS45/51/53 itu diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff kepada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu dalam satu majlis ringkas di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Proton City di sini pada Isnin.

Dalam majlis itu, Azizulhasni turut menerima dokumen berbentuk surat tawaran biasiswa melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

Md Amin berkata, tawaran berkenaan merupakan penghargaan pihak UPSI atas pencapaian cemerlang atlet Olimpik yang melakar kejayaan dalam sukan berbasikal trek di peringkat antarabangsa itu.

Menurutnya, Azizulhasni dipelawa melanjutkan pengajian pascasiswazah dengan tajaan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat Sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225 atau Doktor Falsafah selama tiga tahun bernilai RM103,700.

“Penawaran insentif kecemerlangan itu ditawarkan secara terbuka bermula 1 September 2021 hingga 31 Disember 2024.

“Tawaran itu membolehkan Azizulhasni memberi fokus dan tumpuan beliau meraih pingat emas pertama negara di Olimpik Paris pada 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selepas majlis tersebut, Azizulhasni dibawa melawat Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI Sport City.

Beliau kemudian hadir ke sesi perkongsian pengalaman kejayaan dalam bidang sukan, ‘From Zero To Hero’ secara dalam talian anjuran Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKj) dan Persatuan Sains Sukan.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  72  =  76