Azhar nafi tolak usul bahas isu banjir

 Azhar nafi tolak usul bahas isu banjir

Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Satu usul di  mengenai hal-hal tergempar dan diperlukan untuk dirundingkan secara tergempar, perlu dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 18 (1) sehari awal, sebelum persidangan berlangsung. 

Sehubungan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah berniat politik dan beliau tidak akan terjerumus dalam kancah politik. 

Beliau menafikan menolak usul membahaskan isu banjir pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat Isnin lepas. 

“Untuk hal banjir ini, Ahli-Ahli Parlimen boleh sahaja memberikan notis kepada saya melalui WhatsApp dan sebagainya sebelum 20 Disember.

“Malah, satu usul bertulis boleh sahaja dibuat pada pagi 20 Dis 2021. Namun, tidak ada seorang pun yang berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata dalam aturan urusan mesyuarat pada hari itu, pembentangan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 merupakan satu-satunya agenda yang disenaraikan.

Namun, pembentangan pindaan rang undang-undang itu tidak dapat dibuat kerana proses libat urus antara Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dengan pihak pembangkang belum tamat serta terdapat isu-isu mengenainya perlu diselesaikan. 

Azhar berkata usul diperlukan bagi membolehkan beliau mengemukakan masalah kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan dijawab oleh menteri serta membolehkan menteri yang berkenaan membuat persiapan bagi menjawab perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan. 

Katanya, usul juga diperlukan untuk sesuatu masalah itu dibahaskan dengan bertatacara dan sempurna bagi menghalang Ahli Parlimen membahaskan perkara yang tidak berkaitan dengan isu dalam usul tersebut.

“Saya bukannya hendak mengekang hak Ahli-Ahli Parlimen daripada membahaskan isu-isu semasa yang penting dan yang perlu disegerakan, namun Dewan Rakyat tidak sepatutnya dijatuhkan martabatnya menjadi kedai kopi dengan membangkitkan apa sahaja isu secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Tidak ada Parlimen di negara-negara Komanwel yang membahaskan apa-apa isu yang dipetik daripada udara sesuka hati dan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengikut peraturan dan aturan urusan mesyuarat,” katanya memetik laporan Bernama. 

Azhar berkata beliau komited kepada pembahasan terbuka mengenai apa juga isu dan masalah yang dihadapi rakyat, malah telah mewujudkan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas semasa serta mengadakan sekretariat buat pertama kalinya dalam sejarah Parlimen Malaysia bagi membolehkan proses semak dan imbang diperkukuhkan.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  5  =