Ayob Khan sahkan terima notis saman fitnah RM50 juta

 Ayob Khan sahkan terima notis saman fitnah RM50 juta

Ayob Khan meninjau pemeriksaan sekatan jalan raya di Seelong, Johor Bahru semalam

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 10 Mei – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan sudah menerima notis saman fitnah RM50 juta daripada peguam Kamal Hisham Ja’afar pada 2 Mei lalu.

Beliau masih menunggu tarikh perbicaraan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak mahkamah berhubung notis saman berkenaan.

“Itu hak dia, kita tunggulah perbicaraan di mahkamah nanti. Sepatutnya tidak timbul isu ini (saman fitnah), dia (Kamal Hisham) ditangkap dan dituduh di mahkamah (kes penipuan pengiklanan), bila di mahkamah, dia boleh bela diri,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Seelong, di sini semalam.

Pada 2 Mei lalu, notis saman fitnah terbabit diserahkan peguam berkenaan menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates kepada Ayob Khan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Notis tuntutan itu berkaitan sidang akhbar Ayob Khan berkenaan seorang peguam memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan menyamar sebagai peguam Istana Johor yang diadakan pada 22 April lalu.

Notis guaman itu antara lainnya mendakwa Ayob Khan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berniat jahat dan tidak benar.

Dalam sidang akhbar itu, Ayob Khan didakwa memaklumkan terdapat laporan polis yang mendakwa peguam itu menyamar sebagai peguam Istana Johor selain peguam tersebut melakukan kesalahan jenayah berkaitan pengubahan wang haram.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1