Ayat `romantis’ tarikan Bukit Janggut

 Ayat `romantis’ tarikan Bukit Janggut

SEPANGGAR 24 JUN 2021. Loghat Sabah untuk menarik minat pendaki luar di trek Bukit Janggut, Sepanggar. WMY/MOHD AZRONE SARABATIN

SEPANGGAR, 24 Jun — Mendaki Bukit Janggut, di sini tiada beza dengan beberapa bukit yang ada di sekitar Teluk Sepanggar seperti Bukit Bonduk dan Bukit Merah, Karambunai.

Selain laluan mencabar dan apabila berada di puncak disajikan dengan pemandangan indah sekitar Teluk Sepanggar dan Menggatal, Bukit Janggut memiliki tarikan tersendiri iaitu ayat romantis sama ada dicatat pada papan tanda yang diletakkan pada pokok, laluan pendakian atau dipasang pada gegantung dalam pendakian ke puncak bukit.

Pintu gerbang baharu Bukit Janggut, Sepanggar.

Antara ayat berkenan adalah “Hati-hati, sesat di hutan tidak seindah sesat di hati mu”,  “Ketika hati mu dan hatiku bertemu di jalan maka di sana terdapat dua hati iaitu berhati-hati di jalan”, “Jauh lagi kah?, Ok bah kalau kau” dan  Pendaki tidak pernah mengeluh kerana mereka menghargai nikmatnya apabila sampai ke puncak”.

Mengikut penjaga Bukit Janggut, Jaining Isin, 65, berasal dari Kampung Pengalat Kecil, Papar, beliau dan beberapa rakan meneroka bukit itu untuk kegiatan pendakian atau `hiking’ pada November 2018 dan mula beroperasi sebulan kemudian.

Katanya, idea menggunakan ayat romantis untuk memberi semangat kepada pendaki untuk sampai ke puncak berketinggian sekitar 860 meter secara santai dan tanpa tekanan.

Beliau berkata, ramai pendaki mengakui ayat berkenaan menjadi tarikan mereka mendaki bukit yang selama ini bukan pilihan pendaki di Teluk Sepanggar.

Penjaga Bukit Janggut, Jaining Isin

“Memang ramai mendaki Bukit Janggut, namun kegiatan itu turut tertangguh kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh atau PKP 3.0. Saya yakin apabila kegiatan riadah dibenarkan semula pendaki akan kembali ke sini,” katanya kepada Wacana.my, di sini.

Bukit Janggut sentiasa dijaga rapi, bersih dan menarik dengan setiap pendaki tidak dibenarkan meninggalkan sampah walaupun sekecil debu rokok.

Mengikut rekod MySejahtera yang dipasang di kaki bukit itu seramai 2,564 pendaki direkodkan sepanjang Januari hingga Mac lalu.

Pemandangan mentari terbenam di Teluk Sepanggar dari atas puncak Bukit Janggut, Sepanggar. GAMBAR IHSAN PENDAKI

Sesuatu yang menarik pendaki berpeluang melihat Gunung Kinabalu dari puncak bukit itu, selain panorama Teluk Sepanggar dan fenomena mentari terbernam.

Bukit Janggut turut mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan antara terlibat dengan projek pembinaan 52 gerbang bukit di negeri ini Januari lalu.

Little Sulap atau pondok kecil di kaki Bukit Janggut, Sepanggar.

Bagi mereka berminat berkhemah, tapak khas perkhemahan turut disediakan dan ini pastinya menjadi pilihan pada hujung minggu sebelum PKP kesan pandemik COVID-19.

Pendaki tidak dikenakan bayaran untuk mendaki bukit berkenaan, sebaliknya boleh menyumbang secara ikhlas dalam tabung khas yang disediakan.

Antara ayat-ayat ‘cinta’ sepanjang pendakian ke puncak Bukit Janggut, Sepanggar.

Dalam pada itu, Jaining berkata, mungkin kerana tekanan ekonomi ada pencuri yang turut mencuri atap pondok tempat rehat pendaki, lampu dan solar disediakan sepanjang pendakian ke puncak bukit berkenaan.

 “Saya harap pencuri yang mengambil peralatan itu supaya mengembalikannya semula kerana kemudahan yang kami sediakan adalah hasil tabungan pendaki dan untuk kegunaan `kaki bukit’,” katanya.

Mohd Azrone Sarabatin

Azrone@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

28  −    =  20