Awas vaksin palsu – KKM

 Awas vaksin palsu – KKM

Oleh Suraya Ali

Kuala Lumpur, 5 Mac — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia maklum iklan penjualan vaksin COVID-19 jenama Pfizer BioNTech yang tular di media sosial.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata iklan tersebut yang kononnya menjual vaksin itu dijual dalam talian adalah palsu.

“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM serta melalui unit forensik siber serta kerjasama dengan pihak berwajib tempatan lain dan antarabangsa Interpol sememangnya sentiasa memantau keadaan semasa dan penjualan vaksin di dalam talian.

“Vaksin yang sudah pun diberikan pendaftaran bersyarat, hanya boleh dibekalkan pihak kerajaan dan pihak dibenarkan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19, semalam.

Tambah Dr Noor Hisham, pihak KKM turut dimaklumkan banyak vaksin tiruan sudah berada di pasaran.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan hanya menerima vaksin daripada KKM dan sumber boleh dipercayai.

“Kita melihat sekarang ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memberikan pendaftaran bersyarat untuk vaksin COVID-19.

“Syaratnya ialah dibekalkan oleh kerajaan atau tempat sudah dikenalpasti kerajaan termasuk hospital swasta,” katanya.

Semalam tular sebuah tangkap layar iklan penjualan vaksin COVID-19 itu yang didakwa dalam aplikasi jualan dalam talian yang terkenal.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  1  =