Atlet Ekuestrian negara bersedia hadapi Sukan Asia 2022

 Atlet Ekuestrian negara bersedia hadapi Sukan Asia 2022

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Selaku pelatih kuda profesional di Luxemborg, atlet ekuestrian negara Shoorendran Nageswaran berkata beliau yakin dengan kemampuan sendiri serta sudah bersedia untuk bersaing di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Selepas tidak dapat bersaing pada edisi 2018 setelah kudanya mengalami kecederaan yang menyaksikan kerjayanya dalam sukan itu berakhir menjelang temasya tersebut, Shoorendran kali ini sudah mempersiap dua kudanya, Ping Pong V dan Wanskjaers Cuneo, masing-masing berusia sembilan tahun, bagi acara show jumping.

“Saya terlepas edisi terdahulu kerana kuda saya cedera. Untuk temasya akan datang saya bersedia dengan dua kuda bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan saya rasa saya boleh catat keputusan yang baik pada temasya itu,” katanya.

Mengakui hanya usaha keras mampu menaikkan beliau ke podium Sukan Asia, Shoorendran bagaimanapun yakin dan percaya persiapan yang dilakukannya kali ini dapat membantu beliau merealisasikan sasarannya itu.

Atlet berusia 28 tahun itu berkata beliau menyertai beberapa kejohanan di seluruh Eropah bagi memastikan kuda-kudanya menerima pendedahan yang mencukupi agar boleh dimanfaatkan oleh atlet ekuestrian pada masa akan datang.

“Menjelang Sukan Asia ini, saya bercadang menyertai pertunjukan antarabangsa bertaraf dua atau tiga bintang bagi meningkatkan kemahiran saya dan kuda-kuda berkenaan, kerana kali ini saya tidak tergesa-gesa melakukan persiapan, selain bertanding di Concours de Saut International (CSI).

“Harap-harapnya apabila musim bermula pada tahun depan, saya boleh memenangi pertandingan bertaraf empat bintang sebelum ke Sukan Asia, dan mudah-mudahan beroleh kejayaan pada temasya itu juga,” katanya.

Menyifatkan dirinya masih lagi belum mencapai kejayaan terbaik, atlet itu berkata temasya Hangzhou merupakan permulaan yang baik untuk dirinya yang berharap dapat ke Olimpik Paris 2024.

Shoorendran berharap sokongan berterusan Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan Persatuan Ekuestrian Malaysia, khususnya dari segi kewangan, dapat membantunya dan rakan atlet lain bertanding di kejohanan bertaraf dunia seperti Olimpik.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  2  =