Atlet boling dibenarkan berlatih hari ini

 Atlet boling dibenarkan berlatih hari ini

KUALA LUMPUR, 24 Feb — Setelah lebih sebulan tidak berlatih, atlet boling negara boleh menarik nafas lega apabila diberi kebenaran untuk berbuat demikian oleh kerajaan.

Semua atlet boling negara akan menjalani latihan di Sunway Megalanes bermula hari ini, namun akan dibahagikan mengikut kumpulan dan jadual latihan yang berbeza.

Menurut Setiausaha Agung Kongres Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok, semua atlet perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Maradona Chok, Setiausaha Agung Kongres Tenpin Malaysia

Katanya, pemain akan dibahgikan kepada dua kumpulan mengikut tempat kediaman pilihan mereka, sama ada kuarantin di rumah atau di kem asrama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

“Semua atlet berasa teruja dan gembira untuk kembali ke gelanggang. Mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu di asrama Bukit Jalil yang akan berlatih pada sebelah pagi, manakala yang kuarantin di rumah akan berlatih selepas kumpulan pertama meninggalkan venue,” katanya.

Tambah beliau, setiap atlet akan berlatih di lorong boling masing-masing sebagai langkah penjarakan fizikal, sementara jurulatih akan memantau dari belakang.

Jumaat lalu, kerajaan memberi lampu hijau bagi aktiviti sukan dan rekreasi tanpa sentuhan seperti boling, renang dan memanah.

Sebelum ini, pusat boling tidak dibenarkan beroperasi bagi mengekang penularan virus COVID-19, manakala skuad boling kebangsaan pula mengambil keputusan untuk tidak terlibat dalam gelembung latihan berpangkalan di kem apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan pada 13 Jan lalu.

Skuad boling negara kini berpeluang untuk menyertai kejohanan luar negara seperti Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Macau yang dijadualkan pada 14 hingga 19 Jun, selepas lebih setahun tanpa sebarang  kejohanan peringkat tinggi.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  1  =