Atlet angkat berat Uganda ‘hilang’ ditemui polis

 Atlet angkat berat Uganda ‘hilang’ ditemui polis

Julius Ssekitoleko meninggalkan kem latihan mereka di Izumisano, Osaka selain gagal dikesan.

TOKYO, 21 Jul — Atlet angkat berat Uganda yang dilaporkan ‘hilang’ dari kem latihan pra Olimpik Tokyo 2020 pada Jumaat lalu sudah ditemui polis dan kini dalam siasatan.

Majlis Olimpik Uganda (UOC) mengumumkan Jumaat lalu bahawa atletnya, Julius Ssekitoleko meninggalkan kem latihan mereka di Izumisano, Osaka selain gagal dikesan.

Setiausaha Kehormat UOC, Beatrice Ayikoru mengesahkan atlet mereka itu sudah ditemui dalam klip video pendek tanpa mendedahkan butiran lanjut.

“Dia sudah berjaya dikesan dan dia bersama pihak berkuasa di sebuah pejabat di Izumisano,” katanya.

“Kami berkerja sama dengan kedutaan kami di Tokyo untuk memastikan dia akan pulang dengan selamat ke Uganda,” katanya.

Pihak kedutaan Uganda di Tokyo mengesahkan mereka sedang berusaha menguruskan penerbangan pulang Ssekitoleko ke Uganda seawal yang mungkin.

Agensi berita Jepun, Kyodo melaporkan Ssekitoleko ditemui sekitar 40 kilometer selatan Nagoya, di mana dia didapati sedang membeli tiket kereta api.

Tambah laporan itu, dia mempunyai telefon bimbit tetapi pasport miliknya disimpan pasukan Uganda, yang tiba di Jepun pada 19 Jun lalu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *