Atasi segera denggi di Stulang Laut

 Atasi segera denggi di Stulang Laut

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 13 April – Pihak berwajib perlu segera mengambil tindakan terhadap pemilik Bangunan De Stulang, Stulang Laut di sini yang didakwa menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan sekitarnya.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Kebun Teh, Alhera Minor Zulhelmi mendakwa, ini kerana kawasan bumbung di tingkat satu bangunan tersebut dipenuhi sampah-sarap.

“Masalah ini sudah diajukan kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, namun hingga kini tiada tindakan diambil terhadap pemilik bangunan.

“Beberapa kes demam denggi dikesan di kawasan di sekitar bangunan tersebut. Kerja-kerja penyemburan kabus atau ‘fogging’ melibatkan kontraktor dilantik MBJB sudah beberapa kali dilakukan.

“Walaupun begitu, masalah ini masih tidak selesai. Bagi saya penyemburan ini kurang berkesan dan seperti sia-sia kerana selepas sembur tetap banyak nyamuk,” katanya ketika dihubungi Wacana.my, hari ini.

Katanya, bahagian atas bumbung tersebut perlu dibersihkan dan sekiranya pemilik bangunan itu masih berdegil, wajar dikompaun.

Masalah tersebut sudah beberapa kali dilaporkan kepada pihak berkenaan namun tidak ada tindakan yang konkrit diambil.

“Ada penduduk sudah empat kali hidap demam denggi. Mereka bimbang dan kecewa kerana tidak tahu sampai bila keadaan ini akan berterusan,” katanya.

Pihak berkaitan tidak sewajarnya hanya melakukan semburan, sebaliknya mencari jalan berkesan mengatasinya segera.

“Janganlah bila ada kes denggi datang buat semburan sedangkan punca masalah yang utama tidak diselesaikan,” ujarnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  56  =  65