ATAP rayu bayaran balik pinjaman bank dan faedah diturunkan semasa PKP

 ATAP rayu bayaran balik pinjaman bank dan faedah diturunkan semasa PKP

Foto travel2penang.wordpress.com

GEORGE TOWN, 16 Mei — Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) berharap Kerajaan Persekutuan akan mengarahkan semua bank untuk mengurangkan atau membekukan pembayaran faedah dan bayaran balik pinjaman semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Ch’ng Huck Theng

Pengerusinya Ch’ng Huck Theng berkata dengan pelaksanaan PKP ketiga di seluruh negara dan sekatan rentas negeri masih dilaksanakan, operasi kawasan tarikan pelancong masih bergelut tanpa sebarang perolehan hasil, sedangkan perbelanjaan pengurusannya terus bertambah.

Beliau berkata rata-rata pihak pengurusan kawasan tarikan pelancongan di Pulau Pinang telah bekerja keras untuk mengurangkan kos operasi, termasuk mengurangkan jumlah pekerja, menurunkan gaji dan pemberhentian pekerja secara sukarela.

“Kini bukan sahaja operasi kawasan tarikan pelancong yang kecil telah ditutup, malah tempat pelancongan yang besar juga kini bimbang kemungkinan mereka tidak dapat meneruskan operasi sehingga hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya beliau berharap kerajaan akan menimbangkan untuk mengurangkan kadar faedah dan pembayaran pinjaman bank, dalam usaha mengekalkan operasi kawasan tarikan pelancongan dalam negara.

“Bukan sahaja lebih banyak subsidi seharusnya diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengekalkan pekerja mereka di waktu mencabar ini, malah mereka yang kehilangan kerja juga perlu diuruskan dengan cara yang lebih efektif bagi mengekalkan survival,” tambahnya.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1