• Friday, 18 June 2021, 1:39 am

AstraZeneca kurangkan kes & kematian COVID-19

 AstraZeneca kurangkan kes & kematian COVID-19
Oleh Dr Razreen Amim Rusli

 

Pada 2 Mei lalu, kerajaan telah menawarkan vaksin Astra Zeneca kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk menerima vaksin ini. Sejumlah 268,000 vaksin telah ditawarkan. Vaksin ini tidak diletakkan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan kerana ingin mengelak program ini yang sudah beroperasi daripada terganggu. Pada masa sama kerajaan telah membuat pertimbangan terhadap kebimbangan rakyat Malaysia mengenai vaksin AstraZeneca. Walaupun pakar-pakar perubatan telah menyatakan bahawa vaksin ini selamat namun sains dan fakta tidak dapat mengatasi kerisauan orang ramai mengenai berita palsu yang telah tersebar mengenai vaksin AstraZeneca.

Perlu ditekankan lagi bahawa risiko pembekuan darah adalah sangat rendah bagi mereka yang menerima vaksin Oxford AstraZeneca. Sekitar 35 juta dos vaksin ini telah diberikan di negara-negara Eropah. Di India, lebih 100 juta telah diberikan. Data-data setakat ini menunjukkan bahawa vaksin ini selamat untuk diberi kepada orang ramai. Menurut kajian klinikal yang masih lagi berjalan, vaksin AstraZeneca mempunyai kadar keberkesanan sehingga 80 peratus, manakala di Amerika Syarikat sekitar 76 peratus. Vaksin ini juga dapat mengurangkan keparahan jika seseorang yang telah mendapat vaksin AstraZeneca dijangkiti virus COVID-19.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Agensi Perubahan Eropah (EMA), AstraZeneca sesuai digunakan untuk individu berumur 18 tahun ke atas. Namun sesetengah negara Eropah seperti Belgium, Itali, Sepanyol dan Perancis mengesyorkan ia diberi kepada individu berumur 60 tahun dan ke atas. Hal yang demikian kerana, risiko pembekuan darah yang sangat dirisaukan akibat pengambilan vaksin ini adalah jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan secara statistik iaitu kurang daripada (4 dalam 1,000,000) bagi orang yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Majoriti kes pembekuan darah ini direkodkan terjadi kepada wanita yang berumur bawah 60 tahun. Namun begitu, WHO telah menyatakan bahawa manfaat vaksin AstraZeneca adalah lebih tinggi. Vaksin ini boleh mengurangkan kadar kemasukan pesakit ke hospital dan kadar kematian akibat virus COVID-19. Perlu diingatkan lagi risiko pembekuan darah adalah jauh lebih tinggi bagi orang yang dijangkiti virus COVID-19 iaitu sebanyak 16.5 peratus manakala bagi orang yang merokok pula ada sebanyak 0.18 peratus.

Kesan sampingan biasa bagi penerima vaksin AstraZeneca adalah seperti demam, bengkak dan sakit di tempat cucuk vaksin, keletihan, pening dan sakit kepala. Kebiasaannya simptom ini hanya akan dialami selama satu hingga dua hari sahaja. Namun begitu, jika seseorang itu mengalami simptom seperti sakit kepala yang serius, penglihatan menjadi kabur, sakit dada dan sesak nafas, kaki menjadi bengkak, sakit perut yang berterusan dan mengalami bintik-bintik merah di anggota badan, mereka haruslah mendapatkan nasihat doktor dengan segera.

Seperti sedia maklum, semakin ramai rakyat Malaysia dijangkiti virus COVID-19, dan kes harian sentiasa berada di paras yang membimbangkan. Gelombang keempat ini kita menyaksikan pesakit yang dijangkiti virus ini adalah lebih teruk dan kebanyakan mereka dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU). Setiap hari kita disajikan video pengamal perubatan bertungkus-lumus merawat pesakit COVID-19 di ICU. Kadar kematian akibat virus COVID-19 juga lebih tinggi berbanding gelombang sebelum ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, katil di ICU juga berada di tahap kritikal terutamanya di Lembah Klang. Oleh demikian, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) di seluruh negara bagi mengurangkan penyebaran virus ini. Namun begitu langkah ini adalah bersifat sementara kerana hanya dengan pengambilan vaksin dan kepatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP), kita dapat menangani wabak ini.

Hal ini telah terbukti di United Kingdom di mana terdapat pengurangan kes COVID-19 sebanyak 4.3 peratus dan kadar kematian menurun sebanyak 39.1 peratus dalam masa seminggu setelah 35 juta rakyatnya mengambil vaksin. AstraZeneca ada satu daripada vaksin yang digunakan di negara itu. Oleh itu, marilah kita sama-sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan mengambil vaksin yang sedia ada di negara kita ini agar virus COVID-19 dapat dibendungi.

Penulis ialah Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *