Asteroid ‘Menara Eiffel’ lintasi ruang angkasa bumi esok dan Sabtu

 Asteroid ‘Menara Eiffel’ lintasi ruang angkasa bumi esok dan Sabtu

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 20 April – Agensi Angkasa Amerika Syarikat (NASA) menjangkakan tiga asteroid gergasi akan melalui ruang angkasa bumi, esok dan Sabtu ini.

Azlikamil Napiah

Walaupun asteroid terbesar antara tiga itu sebesar Menara Eiffel, namun kesemua asteroid itu akan melintas pada jarak yang selamat dari bumi.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, Azlikamil Napiah berkata asteroid berkenaan hanya melalui ruang angkasa bumi dan tidak memberi sebarang kesan kepada atmosfera dan cuaca bumi.

“Asteroid berkenaan menjadi isu antarabangsa atas kebimbangan ianya berlanggar dengan 2,666 satelit yang beroperasi di orbit.

“Bagaimanapun, asteroid ini dapat dikesan awal dan satelit yang berada di laluan asteroid berkenaan berjaya dialihkan,” katanya.

Sumber Twitter

Menurut beliau, fenomena ini kerap berlaku beberapa tahun sekali berdasarkan pengiraan laluan asteroid yang dibuat NASA.

Sementara itu, menurut laporan portal berita Newsweek, ketiga-tiga asteroid ini diberi nama 2021 GJ3, 2016 QE45 dan 2021 FK3.

Asteroid 2021 GJ3 dijangka melalui ruang angkasa bumi pada 21 April ini (esok), pada jam 2.26 pagi UTC pada jarak 1.48 juta kilometer dari bumi.

Diameter asteroid tersebut adalah antara 47 hingga 109 meter panjang atau selebar sebuah padang bola sepak NFL.

Asteroid 2016 QE45 pula dijangka melintasi ruang angkasa bumi pada 24 April ini (Sabtu) pada jam 1.48 pagi UTC pada jarak 5.1 juta kilometer dari bumi.

Diameternya antara 120 hingga 270 meter memberikan ia nama jolokan ‘Menara Eiffel’.

Akhir sekali, asteroid 2021 FK3 akan melalui ruang udara bumi pada 24 April pada jam 5.45 petang UTC pada jarak 6.1 juta kilometer dari bumi.

Diameter asteroid ini adalah antara 88 hingga 200 meter atau sama seperti ketinggian Jambatan Golden Gate.

Ketiga-tiga asteroid ini akan melintasi ruang udara bumi pada kelajuan 13.4 kilometer per saat atau 14 kali ganda lebih laju daripada peluru senapang.

Perbandingan saiz asteroid – Kredit foto Daily UK

Pada 12 April lalu, asteroid 2021 GW4 melintasi ruang udara Bumi pada jarak 27,000 kilometer dari bumi.

Dalam perkembanga berkaitan, penduduk bumi dapat menarik nafas lega setelah NASA mengesahkan planet ini ‘selamat’ dari asteroid yang pernah ditakuti sekurang-kurangnya selama 100 tahun akan datang.

NASA telah menganggap Apophis sebagai satu daripada asteroid paling berbahaya bagi bumi setelah penemuannya pada 2004.

Asteroid itu diramalkan sebagai ancaman pada 2029 dan 2036 tetapi ramalan itu kemudian diabaikan. Bagaimanapun dikatakan ada sedikit ancaman masih ada untuk 2068.

Tetapi terkini, NASA telah menolak ancaman itu berdasarkan analisis terbaharu asteroid tersebut.

“Impak 2068 tidak lagi berada dalam status kemungkinan, dan pengiraan kami tidak menunjukkan risiko impak sekurang-kurangnya 100 tahun akan datang,” kata Davide Farnocchia, seorang saintis yang mengkaji objek dekat bumi untuk NASA.

Dinamakan sempena dewa kekacauan dan kegelapan Mesir kuno, Apophis diukur sepanjang 340 meter, kira-kira panjang tiga padang bola sepak.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  2  =