Armada Sabah ingatkan Pemuda Umno, berhenti jadi batu api

 Armada Sabah ingatkan Pemuda Umno, berhenti jadi batu api

Fairuz Renddan

KUALA LUMPUR, 30 Jul — Berhentilah menjadi batu api untuk menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Demikian peringatan Ketua Armada Bersatu Sabah, Fairuz Renddan terhadap Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain yang disifatkan mengeluarkan kenyataan tidak sesuai kerana menuntut Perdana Menteri meletak jawatan.

Beliau berkata, sekiranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Palimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan mengelirukan Ahli-ahli Dewan Rakyat maka, sudah pasti itu adalah atas kapasiti beliau sendiri.

“Tidak wajar jika segalanya kesalahan dikaitkan dan dilemparkan kepada pimpinan Perdana Menteri.

“Saya kira tidak wajar beliau (Abdul Aziz) memainkan isu ini dan menjadi duri dalam daging, merosakkan penyatuan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana UMNO juga rakan sekutu dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook Armada Bersatu Negeri Sabah semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan ini berkata, selaku seorang pemimpin, Ketua Pemuda UMNO seharusnya berkongsi pandangan dan tenaga untuk membantu rakyat yang dihimpit masalah akibat kemelut pandemik Covid-19.

“Kalau kawan kita (Abdul Aziz) rasa beliau ada ciri-ciri seorang pemimpin muda yang berjiwa rakyat, ayuh sama-sama kita turun padang dan melawat rakyat di semua kawasan.

“Kita beri sumbangan kerana ramai rakyat yang dibebani masalah kewangan, hilang pekerjaan dan tiada sumber makanan,” katanya.

Fairuz berkata, sebelum menunding jari kepada pemimpin lain khasnya Perdana Menteri, Abdul Aziz seharusnya menghayati dan memahami adab dan moral.

Tambah beliau, tanggungjawab pemimpin muda adalah menggerakkan anak muda untuk menjadi pelapis kepada pemimpin masa kini dengan menggunakan akal dan budi pekerti.

Menjadi seorang pemimpin bukan hanya sekadar pandai melalak, menghentam dan mencari kesilapan orang lain.

Jelas beliau, sekiranya ingin menjaga keharmonian negara dan rakyat, semua pemimpin PN wajar bekerjasama dan bukan membangkitkan isu menarik sokongan terhadap kerajaan serta mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.

Semalam, Abdul Aziz dalam satu kenyataan menyeru Ahli-ahli Parlimen UMNO, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri serta pemegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN dengan meletak jawatan serta merta.

Ia susulan kenyataan media dikeluarkan oleh Istana Negara tentang rasa duka cita Yang di-Pertuan Agong mengenai kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walaupun belum diperkenan oleh Agong.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  4  =