ARMADA kesal, PAU jadi medan hentam BERSATU

 ARMADA kesal, PAU jadi medan hentam BERSATU

Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Oleh Zuan Azmi

KUALA LUMPUR, 29 Mac — ARMADA Bersatu Malaysia kesal akan Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada hujung minggu lepas yang telah menjadi medan menghentam BERSATU.

Menurut Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal, lebih lucu lagi apabila ada anggota pentadbiran yang begitu kanan lantang mengkritik pasukan sendiri.

Tambah beliau lagi, persada politik Malaysia tidak lagi punya sebuah parti yang mempunyai hegemoni. Terus mengungkit kegemilangan masa silam ini tidak ubah seperti menggapai-gapai bintang, takkan jatuh di riba.

Wan Fayhsal berkata, “secara lumrahnya politik sesebuah negara hanya akan stabil jika ada sebuah teras yang utuh. Fungsi ini kini dimainkan oleh kerajaan Perikatan Nasional yang mewakili aspirasi rakyat Malaysia seluruhnya.”

“ARMADA memandang serius keghairahan sesetengah pihak untuk bermain politik sedangkan apa yang rakyat perlukan ialah kestabilan dan usaha berterusan untuk meringankan bebanan akibat wabak Covid-19 ketika ini.”

Tambah Wan Fayhsal lagi, retorik politik yang tidak berkesudahan tidak akan membantu sesiapa, malah bisa mengganggu khidmat kerajaan kepada rakyat.

“Sekarang ialah masanya untuk bekerja. Fokuslah kepada agenda kerajaan yang telah merumuskan serta sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat. ARMADA bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini, terutama pada masa wabak ini.

“ARMADA akan meneruskan kerja demi kesejahteraan rakyat seluruhnya. Medan politik sebenar ialah pilihan raya, namun waktunya bukan sekarang. Walau apapun kemungkinan, BERSATU sentiasa bersedia tanpa sebarang keraguan,” tegasnya lagi.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  34  =  40