• Friday, 18 June 2021, 1:49 am

APMM Kelantan rampas 1.3 tan ikan, dua bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

 APMM Kelantan rampas 1.3 tan ikan, dua bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob –fotoBERNAMA (2021)

PASIR PUTEH, 23 Mei — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas hasil tangkapan ikan seberat 1.3 tan termasuk dua bot nelayan Vietnam kerana menceroboh dan menangkap hasil laut di perairan negara, semalam.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata 12 nelayan warga Vietnam termasuk tekong masing-masing berumur 22 hingga 53 tahun turut ditahan dalam rampasan itu pada jarak 65 dan 67 batu nautika dari muara Tok Bali, di sini sekitar pukul 5.40 hingga 6.05 petang.

“Pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati 10 kru manakala bot kedua dikendalikan oleh dua kru. Rampasan kali ini juga melibatkan pelbagai jenis ikan sebanyak 1.3 tan serta bekalan minyak diesel 7,300 liter.

Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, hasil ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan kira-kira RM1.2 juta,” katanya satu dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua bot yang dirampas itu tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 serta kesemua nelayan terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 berikutan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru, jika sabit kesalahan,” katanya.

Muhd Nur Syam Asmawie turut memaklumkan kesemua lelaki yang ditahan itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan negatif.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *