APM Pahang berusaha tambah lebih ramai ahli Cdert-C

 APM Pahang berusaha tambah lebih ramai ahli Cdert-C

Ibu pejabat APM Pahang

JERANTUT, 10 Sept — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menyasarkan lebih 500 ahli baharu Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam Komuniti (Cdert-C) di negeri ini tahun depan.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kini terdapat seramai 509 ahli di lapan daerah yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan selain menghulurkan bantuan kecemasan ketika diperlukan.

Menurutnya, daerah ini mencatat jumlah teramai ahli Cdert-C membabitkan seramai 217 ahli dan mereka terdiri daripada golongan belia yang menetap di lima kampung luar bandar.

Katanya, Mukim Teh mencatat jumlah ahli teramai dengan 65 ahli diikuti Mukim Tembeling Tengah seramai 63 ahli, Mukim Hulu Cheka (31) dan Mukim Tebing Tinggi (20). Kegiatan mereka dipantau sepenuhnya pegawai pejabat APM Jerantut.

“Daerah lain yang mempunyai ramai ahli ialah Bentong membabitkan seramai 101 ahli diikuti Temerloh (75), Maran (45), Bera (21), Lipis (20), Raub (20) dan Kuantan (10). Usaha menubuhkan pasukan Cdert-C di daerah lain sedang dilakukan.

“Kita menggalakan golongan belia untuk mendaftar sebagai ahli Cdert-C, latihan diberikan dari masa ke masa kepada mereka dalam menambahkan lagi kemahiran serta pengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan ahli Cdert-C Mukim Tembeling Tengah serta program agihan bakul makanan kepada penduduk di beberapa kampung di kawasan Ulu Tembeling, di sini pada Rabu.

Che Adam berkata, pembabitan golongan belia dalam pasukan Cdert-C turut memberi peluang kepada mereka menambahkan pendapatan menerusi bayaran elaun yang diterima setiap bulan.

Menurutnya, berikutan wabak COVID-19 pihaknya turut menubuhkan Skuad Ejen Basmi COVID-19 yang berperanan sebagai petugas barisan hadapan, mereka bertanggungjawab membantu kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa lain.

“Menjelang musim tengkujuh serta bencana banjir di negeri ini saya sudah mengarahkan supaya semua ahli Cdert-C disemua daerah supaya bersiap sedia menghulurkan bantuan sekiranya keadaan memerlukan, kerjasama dengan pihak berkuasa perlu digembleng.

“Kita ingin melihat ahli Cdert-C menjadi antara individu penting dalam aktiviti membantu mangsa banjir selain bertugas di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya akan terus berusaha mengadakan promosi menarik lebih ramai lagi golongan belia menjadi ahli Cdert-C.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

48  −  39  =