Aplikasi Penjejak Zikir & Audio Terjemahan al-Quran diperkenal

 Aplikasi Penjejak Zikir & Audio Terjemahan al-Quran diperkenal

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Pengguna aplikasi Muslim Pro kini mempunyai dua ciri baharu untuk membantu mereka mempersiapkan diri untuk melalui tempoh Ramadan iaitu Penjejak Zikir dan Audio Terjemahan al-Quran.

Pengguna Muslim Pro kini dapat menetapkan misi kiraan zikir setiap hari dan menjejaknya dalam fungsi Tasbih yang tersedia dalam aplikasi. Zikir adalah cara yang amat telus dan kuat untuk mengeratkan hubungan seorang Muslim dengan Allah. Ciri baru ini dibangunkan atas permintaan ramai dari komuniti. Dengan rakaman audio yang disertakan, pengguna juga dapat mendengar dan mengikuti bacaan zikir ketika mereka berusaha melengkapi kiraan zikir masing-masing.

Muslim Pro dalam satu kenyataan media memberitahu, pihaknya menggunakan teknologi bagi terus berinovasi dan meningkatkan kualiti aplikasi, sekali gus berkhidmat kepada ummah dengan lebih baik. Untuk meningkatkan akses aplikasi kepada pengguna di pelbagai pasaran, Muslim Pro telah mengintegrasikan teknologi teks-ke-ucapan dalam fitur al-Quran.

Pengguna kini dapat mendengar audio terjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa. Audio terjemahan Al-Quran akan dimainkan tepat selepas bacaan Arab bagi setiap ayat. Pada masa ini, aplikasi Muslim Pro mempunyai kira-kira 70 terjemahan, dan beberapa bahasa mempunyai pelbagai versi terjemahan. Teknologi teks-ke-ucapan adalah ciri tambahan untuk terjemahan Al-Quran ini dan pengguna boleh mencari pilihan ‘bacaan audio tersedia’ di bawah terjemahan tertentu untuk mengetahui terjemahan yang mempunyai ciri bacaan audio yang baharu.

Ketua Komuniti Muslim Pro, Zahariah Jupary berkata: “Muslim Pro adalah untuk ummah, dan untuk memberi inspirasi kepada individu serta memperkuatkan komuniti. Kesungguhan inilah yang mendorong kami untuk meningkatkan kualiti aplikasi Muslim Pro secara berterusan.

“Kami mahu ciri-ciri baharu ini membantu dan mempermudahkan pelaksanaan amal ibadah komuniti kami, kerana audio terjemahan Al-Quran akan membolehkan pengguna mendengar terjemahan Al-Quran dalam mana-mana bahasa yang tersedia di aplikasi, sementara penjejak zikir akan mendorong ummah untuk meningkatkan ingatan kepada Allah walau di mana pun mereka berada.”

Zahariah berkata, kedua-dua ciri baharu itu sebahagian daripada janji Muslim Pro untuk sentiasa mengutamakan pengguna ‘dalam semua yang kami lakukan’ dan pihaknya akan selalu mendengar suara komuniti dan meningkatkan kualiti aplikasi untuk membantu meraka dalam ibadah masing-masing.

Beliau berkata, ramai yang beralih kepada Muslim Pro ketika global dilanda pandemik COVID-19.

“Kami melihat lonjakan besar dalam penggunaan aplikasi sepanjang waktu pandemik COVID-19, jadi kami tahu aplikasi kami membantu orang dalam amalan mereka,” katanya.

Pada masa ini, aplikasi yang tersedia di Apple App Store (iOS), Google Play Store (Android) dan KaiOS, mempunyai ciri-ciri yang merangkumi waktu solat yang tepat, azan, al-Quran dengan audio lengkap, panduan masjid & restoran halal, kompas kiblat, kalendar Hijrah Islam, pengiraan zakat, kata-kata inspirasi harian, penjejak puasa dan solat, perjalanan haji secara virtual, ayat al-Quran popular dan doa harian.

“Setiap hari, kami fokus untuk membina aplikasi mudah alih yang lebih baik, yang relevan dan berguna untuk ummah. Ciri perjalanan haji secara virtual yang dilancarkan tahun lalu semasa musim haji amat berguna bagi umat Islam yang tidak dapat ke kota suci Mekah, ini sangat relevan ketika pandemik COVID-19 kali ini,” kata Zahariah.

Menerusi sebahagian daripada kempen World Quran Month (WQM) Muslim Pro pada Ramadhan ini, Muslim Pro juga merancang Acara Membaca Al-Quran Sedunia untuk menyatukan umat Islam dalam mendorong antara satu sama lain untuk membaca Al-Quran.

WQM bertujuan mendorong ummah kembali dekat dengan Al-Quran mengikut kemampuan masing-masing sepanjang Ramadhan, bulan terbaik untuk melakukannya. Acara ini juga akan dilakukan menggunakan aplikasi Muslim Pro dan maklumat lebih lanjut akan tersedia pada Mac.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

62  −  61  =