Apa peranan Majlis Raja-Raja Melayu dalam pentadbiran negara?

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Perbincangan Majlis Raja-raja Melayu yang berlangsung hari ini menjadi tumpuan rakyat, khususnya kerana negara sudah lama dibelenggu dengan wabak COVID-19.

Sejak kebelakangan ini ada beberapa pihak yang membuat rayuan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ataupun Majlis Raja-raja Melayu, untuk mengambil tindakan drastik bagi membantu meringankan beban golongan rakyat yang terkesan dengan pandemik ini. Namun begitu, mungkin ramai yang kurang memahami peranan — dan juga had — Majlis Raja-raja Melayu dalam hal pentadbiran negara.

Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-raja Melayu telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi dan tugas-tugas Majlis Raja-raja Melayu mengikut Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan termasuklah memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan; dan mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang menurut Perlembagaan ini memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

Selain itu Majlis Raja-raja juga bertanggungjawab untuk melantik anggota-anggota Mahkamah Khas bagi tujuan memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42.

Majlis Raja-raja Melayu juga boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar Imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.

Namun begitu, tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemulian atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-raja.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

57  −  50  =