• Monday, 21 June 2021, 3:20 am

Antik: Kacip pinang Hairol ada ‘penjaga’

 Antik: Kacip pinang Hairol ada ‘penjaga’

Hairol Budiman Abu Bakar membaiki mesin jahit antik sebelum dijual kepada peminatnya.

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 31 Mei – Diganggu makhluk halus yang ‘menjaga’ barangan antik adalah antara cabaran dihadapi individu yang menjadi penggemar dan penyimpannya.

Ini dilalui Hairol Budiman Abu Bakar, 51 yang berpengalaman lebih 25 tahun sebagai pengumpul dan penjual pelbagai barangan antik tempatan.

Katanya, diganggu makhluk halus yang menjaga kacip pinang antara pengalaman sukar dilupakan. Beliau membeli alat tradisional Melayu itu daripada seorang individu di Sungai Lembing. Pelbagai kejadian aneh dan menakutkan berlaku apabila kacip pinang itu beliau simpan.

Hairol Budiman Abu Bakar dengan sebahagian barang dalam koleksi beliau

“Kejadian ini menjadi pengajaran paling berguna buat saya supaya lebih berhati-hati setiap kali membeli apa juga barangan antik terutama peralatan tradisional Melayu yang diperbuat daripada seperti besi, kayu dan tembikar.

“Kini saya lebih berhati-hati setiap kali ada pihak yang menawarkan untuk menjual barangan antik. Saya mengamalkan beberapa doa sebagai pendinding gangguan makhluk halus,” katanya.

Katanya, kebanyakan barangan lama dan antik dalam simpanannya dikumpul secara berperingkat. Ia kemudian dijual kepada peminat barangan itu dengan harga antara RM100 hingga mencecah ribuan ringgit, bergantung kepada kualiti, usia dan saiz.

Hairol berkata, kebanyakan barangan antik dibeli daripada pemilik asal dengan harga yang ditetapkan. Ia bergantung kepada budi bicara dan kemudian dibeli pada harga RM100 hingga RM500.

Hairol Budiman Abu Bakar (kanan) menjual barangan antik di Taman Kerang.

“Saya dilakukan semua ini kerana minat dan sebagai cara saya menghargai nilai sejarah barangan antik berkenaan. Kebanyakannya (barangan antik) saya simpan untuk buat koleksi peribadi dan hanya menjualnya kepada peminat yang betul-betul boleh menjaga barangan itu dengan baik.

“Kebanyakan barangan lama mempunyai kisah dan sejarah tersendiri, nilai serta keunikan yang hanya difahami penggemar koleksi barangan antik itu sahaja.

“Saya sanggup menjelajah ke merata kampung tradisional di negeri ini untuk mendapatkan barangan lama dan antik yang dianggap tidak bernilai oleh sesetengah individu, terutama generasi muda,” kata anak jati Pekan itu.

Setiap Sabtu dan Ahad, sebahagian daripada koleksinya dipamerkan selain untuk jualan di Taman Kerang, di sini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *