Antara peluang dan cabaran ekonomi GIG

 Antara peluang dan cabaran ekonomi GIG
Oleh Dr Zulkiply Omar

EKONOMI gig berkembang dengan mendadak di seluruh dunia selari dengan perkembangan ekonomi digital. Malaysia tidak ketinggalan mengharungi gelombang perkembangan sama.

Pandemik COVID-19 bukan sahaja melonjakkan lagi kepentingan ekonomi gig di Malaysia, malah memberi pengajaran penting kepada umum tentang penerimaan konsep ini sebagai suatu norma baharu.

Sebelum menyelami lebih dalam berkenaan ekonomi gig, elok kita fahami maksud ekonomi gig ini. Ekonomi gig merujuk kepada sistem pasaran di mana entiti ekonomi menggunakan kontraktor bebas atau pekerja separuh masa jangka pendek untuk tugas tertentu.

Sistem ini sebenarnya wujud dalam persekitaran ekonomi konvensional sekian lama. Namun ia tertumpu kepada tugas tertentu yang terhad. Ini terutamanya tugas yang hanya sekali-sekala diperlukan. Umpamanya, tugas berkaitan penyelenggaraan elektrik.

Sebuah entiti perniagaan tidak perlu menggaji juruteknik elektrik sepenuh masa untuk tugas tersebut. Adalah lebih menjimatkan menggunakan juruteknik sambilan sekiranya ada keperluan.

Penggunaan konsep ekonomi gig ini diamalkan dengan lebih meluas disebabkan perkembangan teknologi digital. Perkembangan internet menggalakkan penggunaan konsep ini melampaui tugas yang sebelum ini dianggap tidak sesuai. Ini ditambah pula dengan pembangunan pelbagai peranti yang canggih seperti telefon pintar serta pembangunan perisian.

Pada 2018, seramai 57 juta pekerja Amerika iaitu mewakili 36 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya, terdiri dari pekerja gig sama ada sepenuh masa atau pun separuh masa. Di Malaysia, peratusannya mungkin masih jauh daripada paras tersebut.

Namun apa yang jelas kelihatan bilangan mereka yang terlibat dengan pekerjaan gig ini meningkat dengan mendadak  disebabkan pandemik COVID-19. Yang paling ketara berkaitan perkhidmatan penghantaran.

Persoalannya, apakah buruk-baiknya perkembangan ekonomi gig ini?

Lumrahnya, evolusi sesuatu sistem itu semestinya dikaitkan dengan perkembangan positif. Jika tidak, masakan ia diterima pakai oleh entiti ekonomi di pasaran bebas. Namun persoalan berikutnya, adakah keburukannya? Di sini, mungkin lebih tepat jika kita tidak melihat sebagai keburukan tetapi cabaran.

Setiap pembaharuan semestinya hadir bersama cabaran yang perlu ditempuhi. Dalam konteks semasa mungkin majoriti penglibatan pekerja gig adalah kerana terpaksa disebabkan oleh permintaan untuk pekerjaan sepenuh masa agak terhad. Ini adalah  jalan keluar kepada ramai tenaga kerja dari terjebak di dalam pengangguran.

Sama ada penglibatan dalam pekerjaan gig ini secara sukarela atau terpaksa, ia memberikan sumbangan yang baik untuk ekonomi. Jika tidak, pengangguran akan meningkat. Pengangguran pula menjadi punca kepada banyak lagi masalah sosioekonomi.

Pada peringkat permulaan, ekonomi gig memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak – ‘majikan’ dan ‘pekerja’. Dalam konteks ekonomi gig, sebenarnya istilah majikan dan pekerja adalah kurang tepat. Ini dengan sendirinya terdedah kepada beberapa cabaran tertentu yang akan dibincangkan di bawah.

Entiti ekonomi yang menggunakan khidmat pekerja gig adalah lebih jimat dan efisien. Mereka cuma perlu membayar khidmat yang diberikan oleh pekerja gig untuk perkhidmatan tertentu. Sebaliknya, penglibatan pekerja sepenuh masa untuk khidmat yang sama adalah lebih mahal untuk jenis perkhidmatan yang keperluannya hanya dengan kekerapan yang rendah seperti mana contoh juruteknik elektrik di atas.

Bagi pekerja gig pula, mereka mempunyai kelebihan dari segi fleksibiliti penjadualan. Mereka boleh memaksimumkan penggunaan masa kerja untuk mendapat pendapatan yang lebih. Mereka turut mempunyai fleksibiliti dari segi pembahagian masa untuk keluarga.

Ini memberi sumbangan yang baik dari sudut perkembangan psikologi. Namun jika dinilai dari sudut perkembangan yang lebih maju, ekonomi gig mempunyai potensi lebih besar yang perlu digembleng. Pertama, dari sudut pembangunan teknologi digital. Umpamanya, pembangunan perisian perlu diberi galakan.

Kedua, dari sudut pembangunan bakat atau kepakaran. Perkhidmatan gig tidak seharusnya terhad kepada jenis pekerjaan berkemahiran rendah.Bahkan, ia juga sesuai untuk jenis pekerjaan profesional berkemahiran tinggi dan separa mahir. Ia bergantung kepada keupayaan individu membuatkan diri mereka relevan.

Dalam pada itu, perkembangan ekonomi gig juga menggalakkan persaingan sesama pekerja. Setiap pekerja gig perlu bersaing untuk mendapat tawaran kerja. Ini terutama untuk perkhidmatan berkemahiran tinggi dan separa mahir. Jadi, secara langsung ini menggalakkan pembangunan skil.

Pihak majikan pula boleh memilih perkhidmatan terbaik yang ditawarkan. Kesannya, daya produktiviti akan meningkat. Pengeluaran menjadi lebih efisien. Keseluruhannya, ini akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi.

Namun, segala sumbangan positif ekonomi gig ini juga datang dengan cabaran yang perlu dihadapi. Perlu juga diingat, sesetengah cabaran adalah sesuatu yang baharu dan tiada pengajaran sedia ada yang boleh   dipelajari. Ini tidak dapat dielakkan dan perlu ditempuhi jika kita ingin meraih manfaat yang besar. Ia adalah kebiasaan jika kita ingin berada di barisan hadapan gelombang pembangunan ini.

Cabaran utama adalah dari sudut klasifikasi pekerja. Sebahagian besar pekerja gig kini berada di dalam pekerjaan tidak formal. Oleh demikian, dengan sendirinya mereka tidak mendapat manfaat yang dikecapi melalui pekerjaan formal secara langsung. Antara lain, termasuk kemudahan caruman KWSP, SOCSO dan insurans kesihatan.

Ini bermakna mereka tidak mempunyai perlindungan sosial yang mencukupi sama ada ketika masih bekerja mahupun selepas bersara. Walaupun, mereka digalakkan untuk mencarum secara sukarela di dalam KWSP dan SOCSO, namun ia kurang berkesan

Maka, kerajaan perlu merancang suatu mekanisme perlindungan sosial yang efektif untuk memastikan kumpulan pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig, mempunyai perlindungan setimpal. Ini terutamanya untuk jaminan pendapatan masa tua, yakni selepas persaraan.

Jika tidak, negara akan terdedah kepada tekanan awam yang serius. Cukai pendapatan dari pekerja gig juga sukar dikutip oleh kerajaan. Sekiranya kita ingin memajukan konsep ini ke peringkat yang lebih tinggi, suatu mekanisme yang efektif perlu difikirkan. Jika tidak, ia akan memberi kesan negatif terhadap keadaan fiskal kerajaan.

Selain itu, pekerja gig terdedah kepada tekanan psikologi dan emosi yang perlu diurus. Keperluan meningkatkan daya saing menyebabkan mereka sentiasa menghadapi tekanan. Ini berbeza dengan pekerja tetap yang mempunyai masa lapang yang memadai untuk urusan peribadi dan keluarga. Oleh demikian, suatu sistem sokongan awam perlu diwujudkan untuk    kesejahteraan pekerja gig serta lain-lain pekerjaan tidak formal.

Penulis ialah Pengarah Urusan, ECONSULT Economic Consulting Sdn Bhd (zulkiplyomar@econsult.my); dan Felo Kanan (Senior Fellow), Social Welbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

28  −    =  22