Angkatan Tentera Malaysia perkasa usaha negara perangi COVID-19

 Angkatan Tentera Malaysia perkasa usaha negara perangi COVID-19

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkawal di kawasan Pasar Awam Air Itam bagi memastikan orang ramai mematuhi prosuder operasi standard (SOP) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

Oleh Amerul Muner Mohammad

FUNGSI utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah mempertahankan kedaulatan negara dari segala ancaman luaran. Bagi tujuan tersebut, semua cabang ATM, sama ada darat, laut dan udara dibekalkan segala kelengkapan yang bersesuaian bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka. Di samping aset-aset moden dan canggih yang dimiliki oleh ATM, kepakaran anggota untuk mengendalikan aset-aset tersebut juga amat dititikberatkan oleh pucuk pimpinan negara dan pemerintahan tentera Malaysia.  Keutuhan peranan ATM telah terbukti semenjak Darurat kali pertama (1948-1960), insurgensi menentang ancaman komunis (sehingga 1989), Konfrontasi (1963-1966), insiden Lahad Datu (2013) dan lain-lain ancaman yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar kita.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilancarkan pada Mac 2020 untuk melawan ancaman pandemik COVID-19, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi peneraju dalam pembikinan polisi dan pengurusan isu-isu berkaitan keselamatan negara. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi agensi utama dalam pengurusan kesihatan awam manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi badan utama dalam penguatkuasaan undang-undang yang terbabit. ATM sebagai salah satu badan dalam MKN turut menyumbang kepakaran dalam memerangi COVID-19.

Satu perkara unik yang dimiliki oleh ATM, berbanding dengan organisasi yang lain adalah, ATM mempunyai kepakaran dalam semua bidang dan bukannya tertumpu kepada kepakaran untuk berperang sahaja. Tentera Darat Malaysia (TDM) yang merupakan cabang yang terawal ditubuhkan di Malaya dalam tahun 1933, mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh diaturgerakkan apabila keselamatan dan kedaulatan negara terancam. Pada peringkat awal, anggota ATM digerakkan untuk membantu PDRM dalam penguatkuasaan PKP dan mengetuai Pasukan Petugas Khas dalam Ops Benteng untuk membanteras penyeludupan pendatang tanpa izin yang boleh menyebabkan penularan COVID-19.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat berduri di laluan tikus berikutan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lakai bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 bagi menghalang pergerakan masuk individu dari luar ke dalam kawasan tersebut

Penglibatan ATM menjadi lebih aktif, apabila jumlah pesakit COVID-19 bertambah dengan mendadak sehingga menyebabkan perkhidmatan kesihatan awam berada di tahap maksimum dengan katil-katil di hospital COVID-19 telah penuh dan katil-katil untuk rawatan rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 juga telah melebihi had maksimum. Dalam keadaan genting, Kor Kesihatan Diraja (KKD), ATM telah diaturgerakkan untuk membina hospital-hospital medan bagi menampung keperluan untuk membantu hospital-hospital awam. Apa yang menarik adalah hospital-hospital medan ATM ini dapat dibangunkan dan beroperasi dalam kadar segera mengikut keperluan KKM. Walaupun hospital-hospital medan ini beroperasi dalam khemah-khemah, kontena-kontena dan dewan-dewan yang bersifat sementara, namun hospital-hospital medan ATM diurus oleh doktor-doktor pakar, jururawat dan pasukan bantuan serta kelengkapan yang setaraf dengan hospital-hospital di bawah KKM.

Pakar-pakar perubatan ATM adalah setaraf dengan doktor-doktor pakar di hospital-hospital yang lain. Apa yang menarik dengan doktor-doktor ATM adalah mereka juga merupakan pegawai perubatan yang sentiasa dilatih untuk bertugas di dalam pelbagai keadaan yang lebih mencabar berbanding dengan rakan-rakan mereka di hospital awam. Menggerakkan, membina dan mengoperasikan hospital di dalam keadaan berperang, memerlukan kepakaran yang tersendiri.

Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mej Jen Datuk Mohd Halim Khalid ketika melakukan pelepasan Konvoi Program Jiwa Murni, Army Combat Medic Vaccination Programme (ACMVP) ke kawasan pedalaman Long Pasia, Sipitang, di perkarangan Markas Divisyen Kelima Infantri di Kem Lok Kawi baru-baru ini. Konvoi melibatkan lima kenderaan pacuan empat roda itu adalah program kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Sabah yang melaksana pemberian vaksin

Setakat 22 Jun lalu sebanyak enam hospital medan yang lengkap dengan peralatan termasuk katil-katil ICU telah dibina dan beroperasi sepenuhnya dengan  kakitangan yang secukupnya bagi membantu meringankan beban yang dihadapi oleh hospital-hospital KKM. Dengan cogankata Khidmat Diutamakan, anggota KKD yang dipimpin oleh Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perubatan ATM, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeflee Mat Jusoh menunjukkan iltizam kerja dan profesionalisme yang tinggi dalam sejajar dengan usaha kerajaan untuk merawat pesakit dan mengekang COVID-19 dari terus menular.

ATM mempunyai kepakaran dalam semua aspek termasuk pengurusan logistik. Pengumuman Menteri Kanan Keselamatan bahawa ATM akan membantu untuk menyalurkan vaksin ke kawasan-kawasan pendalaman, adalah amat sesuai dengan kelengkapan pengangkutan yang dimiliki oleh ATM berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Kerajaan pada suatu ketika dahulu mempromosikan Strategi Lautan Biru di mana agensi-agensi kerajaan digalakkan berkongsi kemudahan bagi memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada rakyat. Peperangan menentang COVID-19 ini jelas menunujukkan bahawa ATM dan agensi-agensi lain mempraktikkan strategi tersebut dengan sepenuhnya.

Anggota paramedik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang khemah ‘deployable rapid assembly shelter’ (DRASH) pada persiapan awal hospital medan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan (PL) baru-baru ini. Hospital medan yang dijangka beroperasi 26 Jun ini, dilengkapi dengan 100 katil dengan empat katil daripadanya diperuntukkan untuk unit rawatan rapi (ICU), bagi pesakit COVID-19 kategori tiga dan empat

Keadaan sekarang jelas menunjukkan bahawa tentera bukan ‘hanya makan dan tidur sahaja’ dan perolehan kelengkapan ketenteraan bukan hanya untuk berperang secara fizikal semata-mata, namun banyak kelengkapan dan kemudahan yang dimiliki oleh ATM boleh digunakan di dalam keadaan darurat kesihatan yang sedang dihadapi oleh negara ini. Perbelanjaan bagi latihan-latihan anggota-anggota tentera adalah perlaburan yang kini jelas menunjukkan hasilnya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Haji Affendi Buang, panglima-panglima perkhidmatan dan ramai pegawai-peagawai ATM dilatih dari usia muda dengan cogankata Berkhidmat Memimpin, sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas berkhidmat untuk negara dan memimpin anggota di barisan hadapan menentang COVID-19. Namun tugas tersebut bukan hanya terletak di atas bahu para pemimipin dan petugas barisan hadapan sahaja, semua rakyat Malaysia harus bersama berganding bahu untuk   menumpaskan ancaman pandemik COVID-19.

– Penulis adalah mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC

Foto BERNAMA

Amerul Muner Mohammad

Amerul@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

57  +    =  65