Angkatan Pertahanan Awam Malaysia respons awal kuatkuasa SOP

 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia respons awal kuatkuasa SOP

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan dengan pantas, responsif dan bersepadu dengan agensi-agensi lain bagi memastikan tindakan penguatkuasaan di lapangan yang lebih pantas dan tersusun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, dengan jumlah anggota yang ramai, APM dapat digerakkan dengan pantas ke lokasi-lokasi dan membantu menyelaraskan segala bentuk penguatkuasaan dan pengurusan bencana dengan baik sebelum tindakan susulan diambil oleh agensi penguatkuasa yang berkaitan.

Kata beliau, walaupun berkemungkinan adanya kekurangan dahulu, namun hari ini APM adalah salah satu agensi yang telah diamanahkan tugas utama oleh kerajaan bagi menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan melaksanakan operasi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) peringkat nasional yang dikenali sebagai OP PATUH dalam kalangan masyarakat dan sektor ekonomi terutama perkilangan.

“Sekiranya kita lihat tempat yang mempunyai jangkitan tertinggi COVID-19 adalah sektor perkilangan, tetapi masih ada yang membuka kilang tanpa mengikut SOP,” kata Mohd Redzuan ketika ditemui di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan di perumahan berkenaan yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 Jun hingga 1 Julai ini.

Mohd Redzuan juga berkata, pertarungan membenteras COVID-19 dan usaha pemulihan negara, termasuklah usaha memastikan kehidupan rakyat kembali ke tahap normal, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Nasihat kepada semua rakyat Malaysia, patuhlah pada SOP walaupun tidak bergejala. Setiap rakyat perlu bertanggungjawab lindungi diri untuk melindungi kita semua,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

64  −    =  61