Anggota polis, remaja edar dadah berdepan hukuman gantung sampai mati

 Anggota polis, remaja edar dadah berdepan hukuman gantung sampai mati

Harethaess (belakang) dan Darshan (depan) didakwa atas pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU, 4 Okt — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah pada 23 September lalu.

Tertuduh, C. Harethaess, 27, yang bertugas di Balai Polis Labu, Negeri Sembilan dan P. Darshan, 19, yang bekerja sebagai pemandu sambilan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Suhaila Shafi’uddin namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa secara bersama telah mengedar dadah jenis ekstasi seberat 181.95 gram.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kota Southkey, di sini pada jam 9.45 malam, 23 September lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim.

Darshan diwakili barisan peguam, Muhammad Firdaus Adnan, Muhamad Wafiq Hadie dan Amer Ashrhaf Azuddin, manakala Harethaess tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia, manakala kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  2  =  2