Anggota polis mengaku tidak salah tuduhan ambil dadah

 Anggota polis mengaku tidak salah tuduhan ambil dadah

Frankie meninggalkan Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas didakwa mengambil dadah dalam kejadian 6 Ogos lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, awal Ogos lalu.

Tertuduh, Frankie Anak Rimong, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R. Salini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Frankie didakwa telah memberikan dadah berbahaya jenis ketamin ke dalam tubuh badannya sendiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, pukul 10.55 pagi, 6 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya,  Chan Choon Yiew, manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.

Choon Yiew mencadangkan Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan kepada tertuduh.

Sementara itu, peguam tertuduh pula dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan memandangkan lelaki itu mempunyai tanggungan empat orang anak termasuk seorang bayi berusia 10 bulan.

Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dan menetapkan 5 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

Frankie merupakan salah seorang daripada enam anggota dan pegawai polis yang ditahan dipercayai mengambil dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di sekitar kawasan bandar raya, 6 Ogos lalu.

Dua inspektor dan seorang anggota polis daripada yang ditahan itu sudah dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada 15 Julai lalu, bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas didakwa bagi pertuduhan menggunakan dadah.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  7