Analisis: Usaha jenamakan ‘Kerajaan Gagal’ untuk gugat kerajaan

 Analisis: Usaha jenamakan ‘Kerajaan Gagal’ untuk gugat kerajaan

Oleh Mohd Kamal Ahmad

TULAR gambar menunjukkan kejadian menconteng panel iklan di sekitar pinggir Sungai Melaka dekat Kampung Air di Bandar Hilir, Melaka pada 11 Mei 2021 lalu bukan perbuatan vandalisme semata-mata. Jika diteliti dan ditelusuri, mungkin ada mesej tertentu yang hendak disampaikan. Mungkin juga, ini permulaan kepada satu gerakan pihak yang tidak berpuashati terhadap kerajaan. Contengan itu bukan lagi satu provokasi tetapi seakan-akan ada berbaur ideologi atau berbau politik.

Dari segi undang-undang, menconteng kawasan awam atau harta awam boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT). Tetapi, apakah kejadian di Melaka boleh disabitkan dengan perbuatan lebih serius iaitu menghasut atau lain-lain?

Bagi kejadian di Melaka tempoh hari, status siasatan kes itu belum diketahui. Apakah sudah ada tangkapan terhadap individu yang melakukan vandalisme tersebut oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atau Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM)?

Kemudian, pada malam 1 Syawal lalu, berlaku kejadian yang juga ada kaitan dengan perkataan ‘Kerajaan Gagal’ yang dikatakan di Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Video kejadian itu tular kelmarin dan agak mengejutkan kerana ketika ini kita dalam suasana menyambut Aidilfitri serta dalam tempoh PKP dan darurat. Menurut laporan berita, polis sudah menahan 20 individu yang dipercayai terlibat untuk siasatan. Dipercayai lebih 40 orang terlibat dalam kejadian itu.

Kejadian berlaku di Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Untuk dua kejadian ini, nampaknya perkataan ‘Kerajaan Gagal’ mulai dijenamakan sebagai satu ‘hastag yang berbaur suatu gerakan’. Apakah kejadian di Parit Raja boleh dikaitkan dengan hasutan, mengganggu atau mengancam ketenteraman awam, mencabar Proklamasi Darurat ataupun sekadar provokasi menggunakan suar sebagai ‘perbuatan nakal’ anak-anak muda untuk melahirkan perasaan atau memberi persepsi negatif terhadap kerajaan?

Kita tidak tahu apakah kesalahan yang boleh disabitkan kepada kumpulan tersebut. Namun Ketua ARMADA BERSATU Negeri Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan mendesak pihak berkuasa menyiasat siapa dalang di sebalik demonstrasi jalanan menggunakan suar itu.

Armada BERSATU Johor, katanya, percaya perbuatan yang tidak bermoral itu didalangi oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam merancang untuk menimbulkan provokasi, spekulasi dan persepsi yang buruk terhadap kerajaan hari ini sehingga melakukan tindakan di luar batasan yang menunjukkan hilangnya sifat patriotisme.

“Armada BERSATU Johor yakin dan percaya tanpa dalang yang menyogok dan mengarahkan provokasi ini dengan menggunakan anak muda sebagai alat provokasi bagi kepentingan politik peribadi, kejadian tersebut tidak akan berlaku.

“Namun, ternyata sudah terlihat beberapa ahli politik telah menunjukkan sokongan dan bersetuju dengan tindakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Wacana.my, semalam.

Rentetan kejadian itu, polis mulai menyiasat pelbagai sudut kemungkinan yang boleh dikaitkan dengan kejadian di Parit Raja. Pihak yang terlibat sudah direman. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian, dipetik sebagai berkata, siasatan masih dijalankan membabitkan pelbagai sudut sama ada wujud pihak tertentu seperti yang didakwa oleh aktivis, badan bukan kerajaan atau orang perseorangan.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan himpunan di Batu Pahat pada subuh Aidilfitri itu dikatakan dirancang seminggu lalu dan dibiayai oleh lelaki tertentu.

Persoalan menarik di sini ialah siapa ‘lelaki’ tersebut – sudah pasti bukan orang biasa, tetapi seperti lelaki yang ada niat dan matlamat tertentu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah pula dilaporkan berkata, siasatan mengikut Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Melihat kepada senarai kertas siasatan yang dibuka di atas, ternyata kes ini suatu yang serius dan perlu dikenakan tindakan tegas. Jangan pula nanti ada pihak yang cuba mempertikai atau mempolitikkan penahanan kumpulan tersebut. Dan, jangan ada pihak yang melatah menuduh kerajaan tidak demokratik apabila pihak berkuasa membongkar siapa dalangnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

73  −    =  71