• Sunday, 20 June 2021, 8:51 am

Analisis: Import vaksin COVID-19 bukan dimonopoli, tapi perlu dikawal

 Analisis: Import vaksin COVID-19 bukan dimonopoli, tapi perlu dikawal

Oleh Mohd Kamal Ahmad

[“]KITA tahu Selangor berapa lama mintak vaksin. Ada yayasan mintak vaksin… tak usahalah temberang bagi alasan… yang kita tahu, ada yayasan (yang memohon) dari bulan Mac, (tetapi) tidak ada jawapan,” demikian dakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan ‘yakin’ dalam satu video tular, baru-baru ini.

Menjawab tuduhan berkenaan, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, semakan beliau dengan yayasan yang dimaksudkan oleh Anwar mendapati, tidak ada apa-apa urusan yang telah dibuat yayasan itu dengan syarikat Sinovac untuk mendapatkan vaksin tersebut.

Khairy menerusi klip video khusus untuk menjawab beberapa dakwaan Anwar itu menegaskan, tidak ada mana-mana syarikat di negara ini memonopoli import vaksin COVID-19  khususnya syarikat Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) seperti dimaksudkan oleh Anwar.

Kata beliau; “Pharmaniaga hanya kendalikan vaksin yang dibekalkan syarikat Sinovac dari China. Vaksin Pfizer dan vaksin AstraZeneca adalah vaksin yang dibeli terus daripada syarikat-syarikat  tersebut. Saya tidak pasti macam mana nak terangkan perkara ini dengan lebih jelas untuk pemahaman Datuk Seri.

“Saya nak jelaskan kepada Datuk Seri, bagi setiap vaksin mesti ada ‘local product registration holder’, ataupun seorang ataupun satu syarikat tempatan yang membuat permohonan kepada NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) bagi mendapat kelulusan vaksin tersebut,” katanya.

Umpama Anwar melambungkan bola tanggung, Khairy dengan mudah melibas tajam bola itu dan masuk semula ke gelanggang Anwar. Ini berlaku apabila Khairy menempelak, ketidakhadiran Ketua Pembangkang itu pada taklimat PICK untuk Ahli Parlimen mendorong Anwar membuat video yang tular dengan tuduhan tidak berasas, palsu dan yang jelas menunjukkan kecetekan pemahaman beliau berkenaan isu vaksinasi COVID-19 sekarang.

Untuk makluman, NPRA adalah badan regulatori di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang dipertanggungjawab memastikan produk kesihatan kategori farmaseutikal, tradisional, suplemen kesihatan dan kosmetik memenuhi ciri-ciri kualiti, keselamatan selain keberkesanan sebelum ia dipasarkan di negara ini.

 

 

Sebelum diluluskan, pengawalan produk tersebut dilakukan menerusi pendaftaran, pengujian makmal, pelesenan, dan pemantauan yang ketat, bagi memastikan tiada isu kesihatan di dalam penggunaan dikalangan rakyat. Seterusnya, selepas sesuatu produk didaftarkan atau dinotifikasikan (bagi kosmetik), NPRA sentiasa menjalankan pemantauan berterusan ke atas produk tersebut yang berada di pasaran.

Merujuk kepada pelbagai cadangan supaya kerajaan membenarkan lebih banyak syarikat mengimport vaksin imunisasi pada jangkitan COVID-19, Khairy berkata, mana-mana syarikat atau organisasi yang berkelayakan boleh mengimport vaksin tersebut dengan syarat ia mendapat kelulusan NPRA.

Kelulusan NPRA ini bukan untuk menghalang mana-mana pihak mengimport vaksin COVID-19 dan pada masa sama kononnya memberi laluan hijau atau monopoli kepada syarikat tertentu. Kelulusan NPRA ini memastikan ada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan dari segi liabiliti jika terdapat apa-apa isu. Dengan adanya syarikat tempatan, kerajaan boleh memantau dan melaksanakan regulasi dengan lebih cekap dan ketat menerusi saluran undang-undang Malaysia.

Ini sama seperti industri strategik lain yang memerlukan regulasi yang ketat oleh kerajaan, seperti industri tenaga, minyak dan lain-lain. Mana-mana pembekal luar negara yang ingin menjadi vendor kepada entiti di Malaysia (misalnya GLC dan agensi kerajaan) perlu mempunyai syarikat yang didaftarkan di negara ini (sama ada menubuhkan syarikat usahasama (JV), menubuhkan syarikat cawangan Malaysia atau melantik syarikat tempatan menjadi pengedar) bagi memastikan pembekalan barang dan perkhidmatan melalui ujian, saringan dan pemantauan yang ketat oleh badan-badan yang berkenaan, dan dapat dipertanggungjawabkan oleh pihak berkuasa. Lain-lain hal seperti percukaian juga dapat dikenakan terhadap produk yang dimport itu demi kepentingan ekonomi, selain menjaga keselamatan kesihatan pengguna.

Jadi Anwar janganlah sewenangnya mendakwa kerajaan temberang, hendak kawal semua, monopoli dan tamak haloba kuasa, hendak pertahankan Pharmaniaga mahupun soal siapa ada duit, semua boleh beli dalam isu import vaksin ini. Jika benar ingin membantu percepatkan proses vaksinasi ini, jika benar ikhlas ingin menderma, mana-mana pihak pun perlu melalui proses yang betul dan saluran yang bertanggungjawab, supaya kualiti vaksin yang diberi dapat dijaga demi kesihatan dan nyawa rakyat.

Lagipun, kebanyakan negara di dunia ketika ini sedang mengutamakan program imunisasi kebangsaan. Jarang sekali termasuk di mana-mana negara maju; yang membangunkan pasaran vaksin swasta lebih dahulu dalam program vaksinasi atau imunisasi.

Namun apabila kerajaan memulakan Fasa 3 iaitu memberikan vaksinasi kepada rakyat keseluruhan, kerajaan juga akan membuka peluang vaksinasi kepada industri. Ketika ini sudah ada sektor swasta mulai berbincang mengenai perkara tersebut dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Ini (vaksinasi kepada industri) juga akan dipercepatkan dengan kerjasama syarikat-syarikat besar yang akan terlibat dalam program imunisasi,” kata Khairy lagi.

Kesimpulannya, dalam pada kita memerangi wabak yang makin menjadi-jadi ini, sudahlah berpolitik demi kepentingan diri. Marilah kita bekerjasama menumpukan tenaga dan perhatian kepada ‘solutions‘ yang dapat memastikan kesihatan rakyat, kesejahteraan hidup segenap lapisan masyarakat dan kemakmuran bersama.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *