• Thursday, 17 June 2021, 12:49 pm

Analisis: Bersatupadu hadapi tempoh ‘total lockdown’

 Analisis: Bersatupadu hadapi tempoh ‘total lockdown’

Oleh Mohd Kamal Ahmad

TIADA pilihan, demikian keadaan yang mendorong kerajaan membuat keputusan melakukan sekatan penuh (total lockdown) untuk Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun depan. Ini susulan situasi peningkatan melebihi 9,000 kes baharu harian dan angka kematian akibat jangkitan COVID-19 sejak beberapa hari lalu.

Total lockdown memerlukan kerjasama, sokongan, pemahaman serta penglibatan semua. Ini bukan kerja petugas barisan hadapan semata-mata. Situasi kritikal ini menuntut semua pihak memainkan peranan ke arah satu matlamat iaitu menamatkan penuralan COVID-19. Rakyat, komuniti, netizen, orang politik, jentera kerajaan, jawatankuasa kariah, majikan, ibu bapa dan tiap seorang daripada kita perlu mainkan sahaja peranan iaitu patuhi SOP dan PKP. Peranan ini tidaklah sukar tetapi masih ada yang tidak mampu memainkannya kerana kejahilan dan kedegilan diri sendiri!

Situasi kritikal yang meragut puluhan hingga ratusan nyawa setiap hari ini perlu ditamatkan dengan syarat, kita semua bersatupadu. Patuhi arahan pihak berkuasa. Jangan mengadu domba dalam media sosial. Ahli politik pula hentikan politicking. Tetapi hairan, dalam suasana negara dan rakyat yang sukar ini, ahli politik terus berpolitik. Mereka yang di sebelah sana terus mengasak dan memprovokasi. Apakah peranan ahli politik sebenarnya? Di mana kewarasan bila COVID-19 dan kematian pun nak dipolitikkan.

Kalau mengikut perkiraan untuk baki tempoh sesi Parlimen ketika ini, pilihan raya umum (PRU) seterusnya iaitu PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2023. Kira-kira dua tahun lagi. Kenapa terburu-buru nak berpolitik dan menekan kerajaan untuk mengadakan PRU15? Lagipun Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berkata dan memberi jaminan, PRU15 akan diadakan sebaik  sahaja pandemik COVID-19 lebih terkawal dan situasi adalah selamat untuk ia diadakan.

Kenapa orang politik tidak memainkan peranan ke arah itu?

COVID-19 adalah ancaman yang sangat serius kepada kesihatan rakyat. Ia menggugat dan boleh melumpuhkan sosioekonomi negara. Boleh dimanipulasi oleh musuh untuk menggugat keselamatan rakyat dan negara. Cuba kupas isu COVID-19 dari sudut sekuriti dan minda yang kritis dan berstrategi. Kita semua mesti ada pemikiran sekuriti. Apabila kita semua bersatupadu membanteras COVID-19, ini akan menyumbang kepada pengukuhan perkara-perkara yang dilabelkan sebagai sekuriti. Sekurang-kurangnya, apabila kita tidak membuat pembelian panik pun ini akan memberi kesan positif kepada pasaran dan bekalan sekali gus sekuriti makanan negara.

Ketika mana Israel mengancam serangan terhadap Malaysia, kita tidak ada rasa cemas, terancam dan tergugat. Bila pesawat Israel melintasi ruang udara kita, kita masih tidak nampak bahawa provokasi sudah dimulakan. Tetapi ahli politik kita tidak menampakkan solidariti sekurang-kurangnya bersatu untuk menyelar tindakan Israel itu dan merasakan ancaman kepada sekuriti kedaulatan negara.

Jika penularan COVID-19 tidak ditamat, selagi itu ia tetap mengancam keselamatan rakyat dan negara dalam semua sudut mahupun bidang. Justeru, ruang total lockdown ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Jangan ganggu fokus, sumber dan kekuatan yang digembeleng untuk menamatkan virus ini. Jika ahli politik tidak berpolitik dalam tempoh ini, itupun dikira satu sumbangan besar kepada harapan rakyat dan kestabilan negara.

Apa tanggungjawab parti pembangkang? Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata: “Ini pandangan peribadi saya. Saya rasa ini bukanlah masa untuk mempolitikkan. Ini bukan masa. Kalau boleh, saya berharap pihak pembangkang boleh duduk semeja dengan wakil-wakil kerajaan untuk berbincang. Jangan bawa politik masuk. Jangan tembak ini salah pentadbiran dan pengurusan. Ini satu kegagalan.

“Kita semua tahu, ini sesuatu yang tidak ada sesiapa mahu. Masalah COVID-19 bukan bagi Malaysia sahaja tetapi masalah satu dunia. Tetapi ini masalah yang perlu kita sama-sama hadapi. Jadi saya harap kedua-dua pihak menunjukkan persefahaman dan gunakan buah fikiran yang terbaik untuk membantu rakyat,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati semua rakyat untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Yang terbaik ialah duduk di rumah untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan pandemik itu,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara ini tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

Langkah lain, kata Perdana Menteri, kerajaan akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti berkelompok di negara ini.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *