Ambil perspektif positif COVID-19 dan norma baharu

 Ambil perspektif positif COVID-19 dan norma baharu

Oleh YB Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Shmad

Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

 

WABAK COVID-19 yang melanda dunia pada hari ini adalah suatu ujian besar daripada Allah bagi manusia sejagat yang mahukan manusia lebih berfikir. Ini kerana, virus COVID-19 ini adalah suatu pandemik yang menakutkan. Berlaku kematian yang tidak terhitung jumlahnya akibat daripada serangan wabak ini di serata dunia, termasuk juga negara maju yang mempunyai peralatan kesihatan dan saringan yang serba canggih. Wabak ini tidak mengira bangsa, usia, warna kulit mahupun status ekonomi.

Apa yang berlaku ini adalah ketentuan, kehendak dan kekuasaan Allah SWT kerana dalam ujian ini ada rahmat dan hikmahnya. Segala yang terjadi di muka bumi ini adalah dalam pengetahuan Allah, tiada siapapun dapat melangkaui ilm-Nya.

Firman Allah dalam surah Al-Taghaabun ayat 11 yang bermaksud: “Tiadalah menimpa sesuatu musibah melainkan dengan izin Allah, siapa yang beriman kepada Allah akan diberi petunjuk kepadanya dan Allah mengetahui atas segala sesuatu.

Jika kita mengambil pengajaran daripada perspektif positif berhubung wabak ini, hakikatnya Allah hendak kurniakan kerahmatan dan keberkatan yang terselindung di sebaliknya.

Secara umumnya pandemik COVID-19 ini telah mewujudkan rasa kekhuatiran, keresahan atau ketakutan yang melampau (panic), namun kita perlu yakin bahawa Allah sentiasa membantu dan menolong umatnya yang sentiasa patuh dan reda atas segala ketetapan dan ujian yang diberikan, seperti firman Allah dalam surah Syarh ayat 5 hingga 8 yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkan lah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.”

Pelbagai usaha dilakukan terutama bagi petugas barisan hadapan yang tidak jemu untuk memastikan wabak ini disaring dan diputuskan rangkaiannya. Malaysia juga melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu menyekat penularan wabak ini.

Secara kesimpulannya, seluruh sistem kehidupan manusia berubah secara mendadak daripada aspek keagamaan, sosial, ekonomi, hubungan dalam dan luar negara, budaya dan lain-lain. Norma kebiasaan hidup harian setiap individu juga terkesan dan terhenti seketika seterusnya berubah ke norma baharu.

Perubahan kepada norma baharu secara ‘tiba-tiba’ disebabkan penularan pandemik ini, memanglah sesuatu yang bukan mudah untuk diterima masyarakat dan disesuaikan dengan kehidupan dalam sekelip mata. Norma baharu perlu dilihat dari sudut positif, ia bertujuan bagi mengelakkan masyarakat daripada rasa tertekan dan terbeban dengan pengamalannya. Kita perlu melihat bagaimana norma baharu ini membawa perubahan yang lebih baik daripada yang sebelum ini dalam perkara yang kurang dititikberatkan, sebagai contohnya, tidak menjaga etika apabila batuk dan bersin, tidak mengambil berat simptom demam, selsema malah kita kini menjadi semakin peka dengan soal kesihatan dan kebersihan diri sendiri dan orang lain.

Meskipun norma baharu ini belum begitu menjadi budaya, namun rata-rata rakyat mengamalkannya kerana bimbang akan penularan COVID-19, patuh kepada undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Bagaimana umat Islam akan melalui kehidupan norma baharu ini?

Melaksanakan perubahan dan menyesuaikan diri dengan norma-norma baharu pada waktu krisis ini tidak harus diabaikan. Oleh demikian, norma baharu perlu diterapkan di semua peringkat masyarakat agar ia menjadi amalan seharian. Kita perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguat kuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu dapat diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini. Melakukan perubahan dari segi gaya hidup, meninggalkan beberapa tabiat yang sudah menjadi kebiasaan dan juga menerima norma baharu dengan fikiran yang terbuka. Masyarakat perlu memberi kerjasama dan mematuhi peraturan serta arahan ditetapkan kerajaan terutamanya mematuhi PKP.

Norma baharu menjadi pemangkin dalam membantu pencegahan penularan COVID-19 jika ia dilakukan bersungguh-sungguh. Norma baharu secara tidak langsung turut mendidik masyarakat menjadi lebih berdisiplin dan tertib dalam kehidupan. Apa yang kita harapkan amalan norma baharu ini akan terus dipertingkatkan dan dijadikan normalisasi serta budaya dalam kehidupan. Apabila semua pihak tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing, norma baharu ini akan diadaptasi sebagai sebahagian daripada kehidupan. Ia memberikan impak positif cukup besar dalam membendung penularan COVID-19.

Jagalah diri kita dan orang lain dengan mengambil langkah pencegahan COVID-19 dengan lebih serius. Jangan jadikan hal ini sebagai satu perkara remeh apatah lagi sebagai bahan jenaka apabila melihat orang lain akur dengan SOP ditetapkan. Jadilah insan yang sentiasa menyampaikan pesanan baik kepada semua orang dan hindari diri daripada menjadi penghasut agar orang lain mengabaikan keperluan memerangi COVID-19.

Nabi Muhamad SAW memberikan beberapa bimbingan panduan dalam menghadapi penyakit berjangkit. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Baginda pernah menasihatkan setiap Muslim agar mengawal pergerakan mereka. Baginda melarang perjalanan masuk dan keluar dari tempat yang dijangkiti wabak. Hal ini bagi memastikan penularan wabak boleh dikawal.

Begitu juga dengan konsep kuarantin yang boleh difahami dalam hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari. Baginda memberikan kita satu garis panduan agar mereka yang telah dijangkiti penyakit hendaklah dikuarantinkan.

Sabda Rasulullah: “Janganlah kamu mencampur-adukkan binatang yang sedang menderita ditimpa penyakit dengan haiwan yang masih sihat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Jika Baginda sendiri telah memberikan beberapa saranan dalam menangani penularan wabak, adalah menjadi satu kewajipan untuk kita umatnya menuruti langkah ini. Setelah semua langkah ini dipatuhi, barulah boleh kita melaksanakan peringkat seterusnya iaitu bertawakal kepada Allah. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya tiada langkah pencegahan diambil, sedangkan kita mendakwa yang kita sedang bertawakal kepada Allah. Pencegahan ini juga merupakan suatu tuntutan dalam agama demi kemaslahatan umum.

Agama mengajar kita untuk memelihara kemaslahatan lebih utama, iaitu nyawa yang merupakan perkara daruri. Nyawa wajib dipelihara sebagai salah satu prinsip yang dipelihara oleh syariah (maqasid al-syariah). Dengan terpeliharanya nyawa atau diri, agama yang merupakan satu lagi prinsip yang dipelihara syariah akan turut terbela.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

27  −    =  22